HALAMAN SANTAI

Isnin, 25 Oktober 2021

Muslimat perlu berpegang teguh dengan Al-Quran, As-Sunnah

HARAKAH DAILY
 

TASEK GELUGOR: Muslimat PAS diseru agar sentiasa berpegang teguh dengan Al-Quran dan As-Sunnah dan bernaung di bawah keimpimpinan ulama.

Ketua Dewan Muslimat PAS Pulau Pinang, Ustazah Hasanah Idris berkata muslimat mesti berusaha memiliki sifat mahmudah sebagai pedoman hidup.

“Perjuangan memartabatkan Islam ini susah, oleh itu jalankanlah tanggungjawab dengan kefahaman berdasarkan jalan dakwah yang ditinggalkan Nabi Muhamad SAW, melalui pendidikan, pertarbiyahan dan pemantapan ilmu agar dapat melahirkan para jundullah yang mempunyai kesatuan fikrah, istiqamah serta gerak kerja yang berkesan,” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian pada Muktamar Dewan Muslimat PAS negeri ke-32 yang berlangsung di Pusat Pengajian Darul Hadis, di sini, kelmarin.

Beliau turut melancarkan Dana Wakaf Bangunan Akademi pengajian Saiditina Aisyah (APSA) Pulau Pinang, iaitu pusat pendidikan yang berorientasikan pentabiahan semi akademik yang menawarkan kursus-kursus berasakan nilai alim sufi haraki yang bakal melahirkan muslimah yang mampu berjuang menegakkan amal makruf nahi munkar.

Inisiatif ini turut menerima pujian daripada Ketua Lajnah Pendidikan, Dewan Muslimat PAS Malaysia Dr Azimah Ibrahim menyatakan bahawa APSA Pulau Pinang merupakan negeri pertama yang melancarkan dana pembinaan bangunan sendiri walaupun usia penubuhannya masih baru berbanding negeri lain.

“Semoga terbina megah bangunan APSA Pulau Pinang,” ujarnya selaku wakil pemerhati DMPM.

Pada muktamar tersebut, Maziah Khamis dipilih sebagai Ketua Dewan Muslimat PAS negeri sesi 2021-2023 manakala Ustazah Hasanah Idris dan Dr Siti Mastura Mohamad sebagai timbalan dan naib. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: