HALAMAN SANTAI

Isnin, 25 Oktober 2021

Tiada keruh yang tidak dapat dijernihkan

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR
 

KITA tidak punya banyak masa. Tinggal kurang 3 minggu lagi penamaan calon. Nak ambil jalan mudah, kerat semua hubungan kita tanding sama sendiri kerana kononnya nak uji kekuatan. MN dan PN berlaga sesama sendiri, menang sorak bumi bertuah punah tergadai. Itukah penyelesaian terbaik?

Dalam Muktamar PAS ke-66 di Kota Bharu tahun lalu Tuan Guru Presiden PAS menyebut dalam ucapan dasarnya bertajuk ‘Islam Memperkukuh Perpaduan’:

“Rasulullah S.A.W menyatukan bangsanya yang buta huruf dan paling jahil. Bangsa Arab yang tinggal di padang pasir yang paling keras hati, sudah menjadi kebiasaan mereka berperang, saling bunuh membunuh sesama sendiri dan membunuh anak perempuan yang dianggap tidak boleh membantu untuk berperang.

“Hanya Islam yang dapat melembutkan hati bangsa Arab yang lebih keras daripada batu dan menyatukan mereka yang porak-peranda dengan mukjizat ilmu al-Quran dan kebijaksanaan Sunnah Rasulullah S.A.W.

“Baginda Nabi S.A.W memulakan misi dakwah dengan menyatupadukan penganut Islam di kalangan bangsa sendiri …”

Hari ini cabaran yang sama terletak pada bahu PAS. Ke hadapanlah para pimpinan dan para ulamak kita untuk berunding dan bawa perdamaian bersandarkan sumber yang sama yakni Quran dan Hadis yang telah bawa kejayaan kepada misi dakwah junjungan kita.

Hati yang keras hanya akan mengundang padah dan akhirnya yang dikejar tak dapat yang dikendong keciciran. Kita bakal mengulangi nestapa PRU14. Umat Melayu Islam bukannya keras hatinya sebagaimana bangsa Arab di zaman Rasulullah S.A.W. Hati umat Melayu bukan batu, tetapi hakikatnya lembut dan pemaaf. 

Pimpinan kita jangan sekali-kali berputus asa, pujuk dan sedarkanlah semua kepimpinan bahawa yang kita perlukan adalah penyatuan, bangsa elakkan pertembungan sesama sendiri insya-Allah gagah dan perkasa maruah bangsa dan agama. Melaka akan kembali megah sebagaimana dahulu kiranya bersatu umat Melayu Islam.  – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: