HALAMAN SANTAI

Isnin, 25 Oktober 2021

Parti pemerintah mungkin berkempen guna nama ‘acara rasmi’, kata Ramasamy

Umno, Bersatu dan PAS mungkin mempunyai kelebihan berbanding parti 
pembangkang seperti PKR, DAP dan Amanah, menurut P Ramasamy.

PETALING JAYA: Larangan perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya dilihat hanya memberi kelebihan secara tidak adil kepada parti pemerintah dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka apabila mereka masih boleh menganjurkan acara seperti itu sebagai “majlis rasmi”, kata Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P Ramasamy.

Dalam kenyataannya, Ramasamy berkata, biarpun mudah untuk mengawal perhimpunan yang dianjurkan parti-parti pembangkang, namun ia mungkin tidak begitu mudah untuk melakukan perkara sama terhadap parti yang memerintah kerajaan persekutuan.

“Ia mungkin selalu membantu parti politik yang mempunyai kekuatan dan hubungan untuk mengelakkan larangan itu dan terlibat dalam perhimpunan rahsia atau bahkan terbuka.

“Walaupun mudah untuk mengawal perhimpunan parti-parti pembangkang, mungkin ia tidak begitu mudah untuk mengawal parti-parti yang memerintah kerajaan persekutuan,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, kementerian tidak membenarkan sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan PRN Melaka yang akan berkuat kuasa dari 25 Okt hingga 27 Nov itu termasuk penganjuran majlis pelancaran jentera pilihan raya.

Selain itu, Ramasamy berkata, dalam erti kata lain, Umno, Bersatu dan PAS mungkin mempunyai kelebihan berbanding parti pembangkang seperti PKR, DAP dan Amanah.

Katanya, walaupun larangan itu dilanggar hanya parti pembangkang yang akan menanggung akibatnya.

Khairy berkata, susulan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung PRN Melaka pada 20 Nov, kementerian menjangkakan banyak perhimpunan serta majlis sosial berkaitan dengan pilihan raya yang akan diadakan melibatkan ramai individu berkumpul (mass gathering) dari seluruh negara.

Parti-parti pembangkang dan Bersih juga meminta supaya larangan itu disemak semula dan mencadangkan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) dan pemantauan lebih ketat dapat dilakukan bagi memastikan semua parti mendapat peluang sama untuk mendekati pengundi.

Tiada ulasan: