KUALA TERENGGANU: Meskipun Perikatan Nasional (PN) sudah mengesahkan bertanding semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Pas masih berharap semua parti-parti Melayu termasuk UMNO dapat bersatu.
Kerjasama itu sekali gus dapat mengelak pertembungan tiga penjuru yang hanya memberi kelebihan kepada pihak musuh.
Dalam status di laman Facobooknya, Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memberi bayangan agar semua parti-parti Melayu Islam dapat bersatu.
Katanya, gerakan Islam mempunyai peranan yang besar dalam pentadbiran sesebuah negara.
“Peranannya yang paling utama adalah untuk memastikan ‘good governance’ memberikan kesejahteraan dan keselamatan kepada rakyat secara adil dan saksama,” katanya.
Dalam hantaran itu, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar berkongsi gambar semasa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang diziarahi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.
Baru-baru ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memutuskan tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau mana-mana parti dalam PN pada PRN Melaka.
Sebagai tindak balas pendirian UMNO itu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan telah mengenal pasti calon di kesemua 28 DUN Melaka termasuk calon Ketua Menteri.
Kesemua calon itu melibatkan wakil daripada Bersatu, Pas dan Gerakan.
Sebelum ini, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berharap UMNO-Bersatu dapat berlapang dada dan melupakan segala perselisihan lampau demi matlamat yang lebih besar iaitu membentuk perpaduan sebelum memasuki gelanggang PRN Melaka.
Hashim dilaporkan berkata, bagi mencapai semangat perpaduan itu sememangnya memerlukan pengorbanan dan tidak mustahil dapat direalisasikan.
Kata Hashim, kerjasama ketiga-tiga parti dalam PRN Melaka bakal menguji sejauh mana kekuatan serta peluang mereka mencapai kemenangan lebih selesa sebelum PRU-15. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan