HALAMAN SANTAI

Isnin, 25 Oktober 2021

UMNO lagi lama, patut dapat bertanding banyak kerusi: Ahmad Maslan


Pembahagian kerusi dalam Piliha Raya Negeri (PRN) Melaka sepatutnya UMNO diberikan lebih banyak kerusi untuk bertanding dan bukan parti lain kerana lebih lama berada dalam politik, kata Datuk Seri Ahmad Maslan.

Setiausaha Agung UMNO itu menafikan partinya akan menjadi pemecah undi kerana tidak mahu bekerjasama dengan rakan parti yang berada bersama dalam kerajaan pusat, sebaliknya menegaskan sebagai sebuah parti yang lama dalam politik negara mereka lebih layak diberikan keistimewaan.

“Kami sudah lama dalam perjuangan dan lama di sesuatu tempat, mereka semua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) parti baharu. Pada saya bukan kita pemecah undi, merekalah yang memecah undi.

“Parti yang lahir selepas UMNO adalah parti baharu, bererti orang itu tidak boleh kata orang lama yang jadi pemecah,” katanya dipetik laporan portal BH.

Ahmad terdahulu melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bukit Terendak hari ini.

Beliau turut menegaskan sebarang keputusan bentuk kerjasama belum dimuktamadkan parti tersebut, ia walaupun Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sudah mengumumkan tiada sebarang kerjasama dengan PAS mahu pun Bersatu dalam PRN kali ini atau pilihan raya umum nanti.

“Kita masih belum buat keputusan penjuru mana sama ada kiri, kanan, depan atau belakang. Sebarang keputusan akan dibuat pada Khamis.

“Kita berlawan untuk menang, jadi kita berusaha untuk menang, mesti ada keyakinan untuk menang,” katanya lagi.

Untuk rekod, Zahid baru-baru ini berkata UMNO telah membuat keputusan tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dan komponen Perikatan Nasional (PN) termasuk PAS dan Gerakan, dalam mana-mana pilihan raya, termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Tidak timbul isu UMNO cepat atau lambat membuat keputusan (untuk bekerjasama). Sebaliknya perkara itu sudah dimuktamadkan pada perhimpunan lalu yang memutuskan bahawa UMNO tidak pernah akan bekerjasama dengan PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia). Noktah!,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berkata gabungan parti itu tidak boleh menunggu lama untuk mendapatkan keputusan kerjasama politik daripada UMNO untuk menghadapi PRN Melaka.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 18 Oktober lalu, memutuskan PRN Melaka akan diadakan pada 20 November ini dengan kempen selama 12 hari bermula selepas perisytiharan calon pada 8 November sehingga jam 11.59 malam 19 November.

Tiada ulasan: