HALAMAN SANTAI

Ahad, 24 Oktober 2021

PH Sabah sedia jalin kerjasama dwi partisan dengan kerajaan negeri

 FMT Reporters

PH Sabah selaku gabungan parti yang berorientasikan polisi berpendapat 
semangat dwi partisan seperti mana dimulakan di peringkat kerajaan persekutuan 
boleh dipanjangkan di peringkat kerajaan negeri.

KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah berpendapat, semangat dwi partisan seperti dimulakan di peringkat kerajaan persekutuan boleh dipanjangkan kepada kerajaan negeri ini.

Dalam kenyataan bersama, gabungan itu berkata pelaksanaan kerjasama itu membolehkan semua pihak sama ada kerajaan atau pembangkang fokus bagi memulih serta membangunkan semula Sabah.

“Sehingga kini, kerajaan negeri belum lagi secara jelas tampil dengan strategi bagaimana untuk membangunkan semula ekonomi di Sabah.

“Ianya bukan lagi soal politik, tetapi kepentingan umum rakyat Sabah. Semua tenaga dan sumber yang ada sepatutnya digunakan untuk merawat, memulih dan membangunkan semula kesan krisis akibat pandemik Covid-19 ini.

“PH Sabah selaku gabungan parti yang berorientasikan polisi berpendapat semangat dwi partisan seperti mana dimulakan di peringkat kerajaan persekutuan boleh dipanjangkan di peringkat kerajaan negeri supaya fokus boleh disatukan ke arah pemulihan dan pembangunan semula Sabah ketika ini,” kata kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu ditandatangani Pengerusi PKR Sabah Christina Liew, Pengerusi DAP Sabah Poon Ming Fung, Pengerusi Amanah Sabah Lahirul Latigu dan Presiden UPKO Wilfred Madius Tangau.

Sementara itu, PH Sabah percaya kestabilan politik di negeri itu akan tergugat jika perkara seperti di Semenanjung menular ke dalam kerajaan negeri.

Mereka berpendapat, aktiviti berpolitik berterusan ketika krisis sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang hanya akan membantutkan apa yang sepatutnya diberikan kepada rakyat.

Strategi pembangunan semula Sabah

Katanya, satu jawatankuasa khas untuk memperinci dan mengemukakan strategi pembangunan semula Sabah kepada kerajaan negeri telah ditubuhkan PH Sabah.

Jawatankuasa itu akan turut mencadangkan kerjasama rentas politik bagi memfokus kepada pelaksanaan strategi memulih serta membangunkan semula negeri berkenaan.

“Majlis Pimpinan PH Sabah telah bermesyuarat malam tadi untuk membincangkan isu rakyat terkait kesan pandemik Covid-19 dan perkembangan isu politik semasa.

“PH Sabah mengalu-alukan usaha program vaksinasi rakyat Sabah ke arah mewujudkan imuniti kelompok. Bagaimanapun, PH Sabah berpendapat program vaksinasi hanya merupakan salah satu daripada strategi pemulihan.

“Kerajaan tidak boleh bergantung semata-mata kepada program vaksinasi tanpa mencetus kesegeraan merangka dan melaksanakan strategi pembangunan semula yang seterusnya,” kata mereka.

Menurut kenyataan itu, strategi pemulihan kesihatan awam disusuli pembangunan semula ekonomi dan infrastruktur di Sabah harus dirangka dan dilaksanakan segera.

“Kerajaan negeri seharusnya memainkan peranan lebih pragmatik dan transparen berkenaan program pemulihan dan pembangunan semula kerana pandemik Covid-19 telah mewujudkan satu krisis yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan ia kini menjadi kepentingan umum rakyat Sabah yang menagih perkhidmatan terbaik daripada kerajaan,” katanya.

Tiada ulasan: