HALAMAN SANTAI

Ahad, 24 Oktober 2021

PRU15: PSM ‘sedar diri’, kurang bilangan kerusi ditanding

Pengerusi PSM, Dr Jeyakumar Devaraj, berkata parti itu mesti bersikap 
realistik apabila menghadapi PRU15.

PETALING JAYA: Parti Sosialis Malaysia (PSM) memutuskan untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dengan mengurangkan bilangan kerusi dan cuba meningkatkan undi yang diperoleh di setiap kerusi ditandingi.

Pengerusinya, Dr Jeyakumar Devaraj, berkata parti itu mesti bersikap realistik apabila menghadapi PRU15 dengan mengukur kekuatan yang ada.

“Kita mesti bersikap realistik apabila menghadapi PRU15. Memang kita pernah menang di dua kerusi sebelum ini, tetapi kita mesti menerima hakikat pengundi di kawasan itu mengundi calon PSM kerana kita mewakili pembangkang pada masa itu dan pengundi berazam untuk menjatuhkan kerajaan BN.

“Mereka tidak sedar terhadap ideologi sosialis kita. Untuk mereka, kita adalah calon pembangkang,” katanya ketika ucapan dasar Kongres Nasional PSM yang diadakan secara dalam talian.

Dua kerusi dimenangi calon PSM sebelum ini ialah di Parlimen Sungai Siput pada 2013 dan DUN Kota Damansara pada 2008.

Jeyakumar berkata, situasi kini berubah sedikit demi sedikit dan orang awam mula menyedari PSM amat berbeza daripada parti Pakatan Harapan (PH).

“Ini kerana kita sentiasa konsisten dalam menyuarakan dan memperjuangkan isu rakyat. Tetapi kesedaran sebegini jauh daripada tahap yang perlu untuk PSM menang dalam pertandingan tiga penjuru dengan PN-BN-PAS dan PH,” katanya.

Beliau memaklumkan pimpinan pusat turut menerima cadangan daripada akar umbi supaya PSM mengadakan kerjasama bersama PH dengan syarat munasabah pada PRU15.

“Kepimpinan Pusat PSM (CC6) telah meminta maklum balas dari semua cawangan dan unit negeri berkaitan pendekatan harus diambil oleh kita dalam menghadapi PRU15.

“Pandangan majoriti adalah kita boleh mengadakan persetujuan elektoral dengan PH jika terma-termanya munasabah. CC6 telah menghubungi PH dan memberitahu mereka kita sedia bekerjasama dalam satu gandingan pilihan raya (electoral pact), dan satu perjumpaan semula telah pun diadakan.

“Cadangan CC6 adalah untuk mengadakan satu sesi perbincangan dalaman untuk mengupas isu ini awal tahun depan. Ada kemungkinan ahli parti mempunyai pandangan berbeza berkaitan persoalan ini,” katanya.

Tiada ulasan: