HALAMAN SANTAI

Sabtu, 16 Oktober 2021

Selepas isteri, Najib pula mohon pasport dikembalikan


Susulan keputusan mahkamah mengembalikan pasport isterinya, kini Datuk Seri Najib Razak pula memohon pasport dikembalikan agar boleh berkunjung ke Singapura untuk bersama anak perempuannya yang akan bersalin di sana.

Bekas Perdana Menteri (PM) itu membuat permohonan untuk mendapatkan semula pasportnya baru-baru ini dan disahkan oleh peguam mewakilinya, Nur Syahirah Hanapiah menurut laporan media.

Peguam bela itu mengesahkan permohonan oleh Najib sudah dibuat atas tujuan yang hampir sama dengan Datin Seri Rosmah Mansor.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memberi kebenaran kepada Rosmah untuk mendapatkan kembali pasportnya selepas memberi alasan untuk menemani anak perempuannya bersalin di Singapura.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan yang dibuat oleh peguam bela tertuduh, Datuk Jagjit Singh.

“Pasport pemohon dikembalikan kepadanya pada 15 Oktober 2021 (hari ini), dan mesti dikembalikan (ke mahkamah) sebelum atau sebelum 6 Disember 2021.

Kedua-dua pasangan yang sedang berdepan kes perbicaraan mahkamah itu mahu berkunjung ke negara jiran bagi menemani anak mereka Nooryana Najwa yang dijadual bersalin tidak lama lagi.

Kata Nur Syahirah pasukan pembelaan Najib memfailkan permohonan berkaitan pasport tersebut ke Mahkamah Rayuan kerana rayuan bagi sabitan kes bekas PM itu sedang dibicarakan di situ.

Bagaimanapun Nur Syahirah tidak mendedahkan tempoh spesifik yang dipohon Najib kepada mahkamah serta tarikh dia dijangka kembali ke Malaysia.

Sementara itu pegawai yang bertugas di Istana Kehakiman mengesahkan permohonan Najib itu akan diputuskan di Mahkamah Rayuan pada 18 Okt ini.

Tiada ulasan: