HALAMAN SANTAI

Sabtu, 16 Oktober 2021

UMNO sedia terima keputusan Zahid untuk tanding solo PRN Melaka


Keputusan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk bertanding secara solo dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka diterima dengan penuh keyakinan parti itu akan menang besar, kata Datuk Seri Ahmad Maslan.

Setiausaha Agung UMNO itu berkata mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) membincangkan berhubung isu PRN Melaka bagaimanapun setakat ini keputusan muktamad belum diputuskan walaupun Zahid sudah membuat pendirian untuk tidak bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).

“Kita membincangkan semua perkara pada mesyuarat MKT, malam tadi, namun belum membuat keputusan (mengenai kerjasama dengan PN).

“Kita juga mendapatkan maklum balas dan pandangan sebelum membuat keputusan,” katanya selepas melawat Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas hari ini.

Ahmad menjelaskan UMNO masih menunggu pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung PRN Melaka dan keputusan muktamad berhubung pendirian Zahid untuk bertanding secara solo di Melaka hanya akan diputuskan selepas itu.

“Tiada keperluan mendesak untuk membuat keputusan itu, dan kita juga tidak boleh mendahului SPR yang akan menentukan sama ada PRN boleh diadakan atau sebaliknya.

“Jika SPR menentukan pilihan raya itu boleh diadakan dan tarikh sudah diumumkan, kita akan membuat keputusan mengenai kerjasama berkenaan,” katanya lagi.

Terdahulu, Zahid dalam satu wawancara membuat pendirian UMNO tidak bekerjasama dengan PAS, ia langkah sama diambil yang menolak sebarang bentuk kerjasama dengan Bersatu yang sudah diputuskan sebelum ini.

Beliau turut membayangkan UMNO akan bergerak secara bersendirian dibawah bendera Barisan Nasional (BN) apabila masuk bertanding dalam PRN dan juga pilihan raya umum nanti atas kepercayaan parti tersebut sudah kuat dan akan disokong rakyat.

Tiada ulasan: