HALAMAN SANTAI

Ahad, 24 Oktober 2021

Zahid tak percaya Mat Hasan, Ismail Sabri jaga UMNO masa ketiadaannya?

Dalam afidavit sokongan permohonan menangguhkan perjalanan ke Singapura kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam (22 Oktober 2021), Datuk Seri Najib Razak memaklumkan beliau diamanahkan dengan tanggungjawab untuk memastikan parti bertindak dengan teratur dan sewajarnya ketika ketiadaan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Najib – Presiden UMNO yang memimpin parti itu berdepan Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018 lalu – sebelum ini memohon mahkamah memulangkan sementara pasportnya mulai 20 Oktober hingga 22 November, bagi membolehkan beliau menziarahi anaknya yang akan bersalin di Singapura.

Namun, pada masa sama, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan Zahid mendapatkan semula pasportnya mulai 26 Oktober hingga 21 November bagi membolehkan beliau menjalani rawatan sakit belakang di Jerman, negara sama cikgunya Datuk Seri Anwar Ibrahim dirawat sebelum ini.

Ketika kedua-duanya – yang menghadapi puluhan tuduhan rasuah, pecah amanah, penyelewengan dan pengubahan wang haram melibatkan berbilion-bilion ringgit – gembira setelah permohonan masing-masing diluluskan mahkamah, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula menetapkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diadakan.

SPR pada 18 Oktober lalu, memutuskan PRN Melaka akan diadakan pada 20 November ini dengan kempen selama 12 hari bermula selepas perisytiharan calon pada 8 November sehingga jam 11.59 malam 19 November.

Susulan itu, Agenda Daily melaporkan kedua-dua rakan karib itu mungkin terlepas kempen PRN Melaka, kerana mereka akan berada di luar negara bagi tempoh 8 hingga 20 November atas urusan yang dinyatakan kepada mahkamah. Berita berkaitan

Namun, kedua-duanya bijak mengatur strategi! Zahid akan terlebih dahulu berangkat ke Jerman, dan segala urusan UMNO diamanahkan kepada Najib. Sementara bekas Perdana Menteri itu terus memohon kepada mahkamah untuk meminda tarikh bagi pelepasan dan pemulangan pasportnya kepada mahkamah daripada 20 Oktober hingga 22 November kepada 25 Oktober hingga 6 Disember ini.

Setelah Zahid kembali ke Malaysia baharulah Najib akan ke Singapura.

Dalam hal ini dua perkara dapat diperhatikan iaitu bagi Najib, anaknya yang akan bersalin lebih penting daripada kes mahkamahnya, dan PRN Melaka serta UMNO lebih penting daripada anaknya yang akan bersalin. Apapun, ia adalah ‘permainan’ orang politik yang berdepan tuduhan jenayah di mahkamah.

Namun, ada isu lain yang sedang diperhatikan akar umbi UMNO, pemimpin blok pembangkang dan rakyat keseluruhannya. Ia susulan kenyataan Najib dalam afidavidnya kepada mahkamah.

Agenda Daily memetik laporan Bernama bertarikh 22 Oktober 2021:

“Najib berkata memandangkan Presiden Parti UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada masa tersebut akan berangkat ke Jerman untuk mendapatkan rawatan bagi tulang belakangnya, beliau telah diamanahkan untuk memastikan parti UMNO bergerak secara teratur dan bertindak dengan sewajarnya sewaktu PRN Melaka dan semasa ketiadaan Ahmad Zahid.”

Untuk rekod, Najib sekarang ini bukan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO. Beliau hanya bekas Presiden UMNO dan bekas Perdana Menteri tatkala Zahid menjadi Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri.

Namun, keakraban kedua-duanya ibarat air dicincang tidak akan putus, sehinggakan Zahid lebih mempercayai Najib mengurus dan mengendalikan UMNO semasa ketiadaan beliau nanti.

Zahid mengamanahkan kepada Najib untuk menjaga UMNO, berbanding pemimpin kanan dan MT yang lain, hatta Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan dan tiga Naib Presiden, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sewajarnyalah Zahid tidak mempercayai Mat Hasan, Ismail Sabri dan beberapa pemimpin UMNO yang lain kerana mereka tidak dapat membuat keputusan untuk memilih memberi sokongan sama ada UMNO atau Perikatan Nasional (PN).

Mat Hassan dilihat rapat dengan PAS yang juga komponen PN, manakala Ismail Sabri pula rapat dengan Bersatu yang memimpin PN. Kedua-dua parti itu telah ditolak oleh Zahid, menerusi dua kali kenyataannya.

Justeru, amanah dan tanggungjawab diserahkan Zahid kepada Najib dilihat oleh akar umbi UMNO, blok pembangkang dan rakyat sebagai kelemahan pemimpin kanan UMNO yang ada sekarang, termasuk Mat Hasan, apa lagi Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri Malaysia daripada UMNO sendiri.

Blok pembangkang boleh meletakkan kepercayaan kepada ‘Kerajaan Keluarga Malaysia’ apabila menandatangani perjanjian persefahaman, tetapi malangnya penyokong kerajaan sendiri tidak percaya kepada kepimpinannya.

Atau, ‘bossku’ akan kembali memimpin UMNO?

Tiada ulasan: