HALAMAN SANTAI

Ahad, 24 Oktober 2021

PAS minta Zahid tak pertaruh nasib Melayu, Islam di Melaka


PAS meminta Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi agar tidak mempertaruhkan nasib politik Melayu, Islam di Melaka dengan bertanding sendirian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 20 November ini.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, Zahid sepatutnya mengambil peluang pada PRN kali ini untuk bersama-sama dengan semua parti Melayu, Islam yang lain.

“Maaf Datuk Seri (Zahid). Berundinglah. Jangan dipertaruhkan nasib politik Melayu Islam di Melaka hanya kerana keyakinan UMNO telah kembali pulih.

“Inilah masanya untuk semua parti Melayu Islam duduk bersama memimpin umat,” tulis Khairuddin di ruangan komen di Facebook Zahid. 

Dalam hantaran tersebut, Zahid berkata, secara umumnya persepsi negatif rakyat terhadap UMNO sudah berubah selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Dulu sebahagian rakyat digoda dengan pelbagai janji manis dan hasutan politik kebencian terhadap UMNO. Hari ini orang Melaka sudah merasai dan mengetahui natijah politik tipu daya yang merosakkan seperti itu.

“Maka PRN Melaka langkah pertama untuk rakyat Malaysia memperbetulkan keadaan dan ‘restore’ (kembalikan) kemakmuran. Insya-ALLAH Melaka akan memilih UMNO dan BN kerana itulah kestabilan dan kemakmuran yang dirindui,” tulis Zahid.

Tiada ulasan: