HALAMAN SANTAI

Khamis, 25 November 2021

Kabinet setuju pengeluar arak kekalkan nama Timah, kata Menteri

 AGENDA DAILY

Pengeluar arak jenama tempatan dibenarkan untuk mengekalkan nama arak mereka, Timah walaupun dikritik banyak pihak kerana kontroversi nama tersebut.

Perkara itu disahkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang berkata Kabinet bersetuju untuk membenarkan syarikat pengeluar arak tersebut mengekalkan nama jenama tersebut, bagaimanapun tidak menjelaskan lanjut berhubung keputusan tersebut.

“Saya berjumpa dengan pengeluar alkohol terbabit dan berbincang mengenai cara menyelesaikan isu ini.

“Saya kemudian membentangkan cadangan syarikat itu kepada Kabinet dan Kabinet bersetuju dengannya,” katanya dipetik laporan media akhbar Sin Chew Daily.

Bagaimanapun, pengeluar arak itu, Winepak Corporation Sdn Bhd dikehendaki menyertakan label tambahan pada botolnya bagi menjelaskan nama Timah merujuk kepada bijih timah dan bukannya menyerupai nama sesiapa.

Sementara itu, sebuah portal media FMT berkata Pengarah Winepak Kenny Yeo mengesahkan perkara berkenaan sambil menambah ia dipersetujui ketika mesyuarat Kabinet minggu ini.

Namun, beliau enggan mengulas lanjut.

Isu arak jenama menjadi kontroversi selepas label arak berkenaan menyerupai lelaki berjanggut dan memakai penutup kepala, seolah-olah lelaki Islam memakai kopiah.

Warganet turut mempersoalkan nama Timah yang dikatakan ringkasan bagi nama Fatimah, anak kepada Nabi Muhammad.

Pengurusan Winepak dalam kenyataan di Facebook menjelaskan beberapa kekeliruan di sebalik penggunaan nama Timah bagi arak keluaran mereka.

Katanya, nama jenama itu merujuk kepada logam timah bersempena industri perlombongan bijih timah ketika Tanah Melayu ditadbir oleh British.

Gambar lelaki berjanggut dengan penutup kepala pula adalah Kapten Speedy, yang memperkenalkan budaya minum wiski pada zaman itu.

Akhir bulan lalu, Winepak bersetuju mempertimbangkan untuk menukar imej pada botol yang didakwa pengkritik sebagai menghina atau mengelirukan umat Islam.

Tiada ulasan: