HALAMAN SANTAI

Jumaat, 26 November 2021

Muafakat Nasional perlu dilengkap dengan penubuhan Perikatan Nasional – Hadi

 MALAYSIA POST

Muafakat Nasional perlu dilengkap dengan penubuhan Perikatan Nasional – Hadi

PAS menolak Muafakat Nasional (MN) yang terbelenggu dengan hanya melibatkan Umno dan PAS sahaja.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu juga menolak fahaman menafikan adanya masyarakat majmuk yang wajib ditangani oleh gagasan yang lebih besar iaitu Perikatan Nasional (PN).

“Gagasan yang ada perlu diubah bentuk dan ikatannya, kerana berlakunya perubahan situasi dan realiti.

“Dahulunya Umno ialah sebuah gabungan pertubuhan dan kumpulan Melayu sahaja, kemudian berubah menjadi satu parti, di samping parti Melayu yang lain seperti PAS dan Parti Negara.

“Kemudian, Umno menubuhkan Parti Perikatan dengan memasukkan MCA dan MIC, selepas itu parti-parti dari Sarawak dan Sabah.

“Selepas berlakunya peristiwa 13 Mei 1969 yang mengejutkan, maka pada tahun 1974 ditubuhkan Barisan Nasional (BN) yang disertai oleh PAS pada awalnya,” katanya di Facebook, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, PAS hanya menerima MN yang lengkap perjalanannya mengikut perjanjian yang telah dimeterai, tanpa bercanggah dengan agenda perpaduan umat yang lebih besar dan berkuasa melalui gagasan politik PN.

“Maka, tsunami politik yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang boleh mencacatkan struktur negara, sememangnya memerlukan suatu perubahan kepada proses islah yang dibentuk terkini kerana BN yang sudah berpenyakit.

“Oleh itu, langkah persembahannya bermula dengan penubuhan MN yang tidak lengkap, maka perlu dilengkapkan dengan penubuhan PN,” katanya.

Justeru Ahli Parlimen Marang itu menegaskan, PAS tidak boleh dibelenggu atau diheret oleh sebarang kefahaman yang lain.

Katanya, PAS hanya bergerak dengan konsep Islam yang terang lagi bersuluh.

“PAS boleh bersama-sama membina negara ini dengan acuan Islam, bukannya sekadar menjadi parti anak tangga atau parti yang menumpang sahaja.

“Bahkan, PAS bukan parti yang menagih simpati seperti peminta sedekah sahaja tanpa mempunyai maruah bersama Islam.

“PAS hanya bersedia menjadi penyelamat negara dengan konsep dan prinsip yang berasaskan kepada perjuangannya bagi menyelamatkan umat keseluruhannya. Bukanlah disebabkan oleh orang tertentu atau kelompok dan puaknya semata-mata,” katanya. – Malaysiapost

Tiada ulasan: