HALAMAN SANTAI

Khamis, 25 November 2021

PKR Sabah pula bidas ADUN DAP desak Anwar berundur

Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak wajar dikritik dan didesak berundur hanya kerana kalah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini, kata PKR Sabah.

Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah pula tampil mempertahankan Presidennya itu yang juga Ketua Pembangkang selepas diserang beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang mendesaknya supaya berundur, ia selepas kenyataan keras secara terbuka Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bilut, Lee Chin Chen dan ADUN Luyang, Phoong Jin Zhe.

Kedua-dua ADUN DAP itu mengkritik Anwar dan mendesak pengundurannya.

Chin Chen dilaporkan menggesa Anwar berundur sebagai Ketua Pembangkang susulan kekalahan PH pada PRN Melaka, Sabtu lalu, manakala Jin Zhe turut mencadangkan kepimpinan PH ditukar.

“Merujuk kenyataan dikeluarkan ADUN Bilut, Lee Chin Chen dan Setiausaha baru DAP Sabah yang juga ADUN Luyang, Phoong Jin Zhe, MPN Sabah memandang serius terhadap kenyataan mereka kerana ia menjurus kepada serangan secara Anwar dan kesepakatan Majlis Presiden Pakatan Harapan.

“Kenyataan dua ADUN DAP ini yang menyalahkan Anwar dan meminta untuk berundur selepas keputusan PRN Melaka menunjukkan ketidakmatangan yang boleh menyebabkan PH yang dibina dengan aspirasi harapan rakyat semakin terbuka kepada perdebatan awam,” kata kenyataan PKR Sabah itu.

Kata kenyataan itu lagi, PH sepatutnya membuat “post mortem” mengenai prestasi di PRN Melaka dan sebarang cadangan dan keputusan dasar perlu dibuat secara bersama seperti yang menjadi budaya keluarga PH

Jelasnya lagi, kenyataan dibuat dua ADUN DAP itu seolah-olah menafikan sumbangan besar logo PKR yang digunakan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang memberi lonjakan kerusi kepada DAP di Melaka.

“Kemerosotan kerusi DAP kepada hanya empat pada PRN Melaka dengan menggunakan logo PH, baru-baru ini, menunjukkan setiap parti perlu membuat ‘post mortem’ masing-masing sebelum diangkat ke mesyuarat PH dan keputusan dasar terakhir dibuat oleh Majlis Presiden.

“Kritikan terbuka kepada pimpinan tidak akan menyelesaikan masalah namun akan mengheret PH di ambang perpecahan dan seterusnya merugikan rakyat Malaysia keseluruhannya,” katanya.

Tiada ulasan: