HALAMAN SANTAI

Khamis, 25 November 2021

Nama Parti Warisan kekal walaupun lebarkan sayap ke Semenanjung: Shafie


Nama Parti Warisan akan dikekalkan dan tidak akan dijenamakan walaupun akan melebar sayapnya ke Semenanjung, kata Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Presiden Warisan itu berkata sebarang keputusan berhubung penggunaan nama parti tersebut adalah mengikut Perlembagaan parti dan tidak akan dijenamakan semula semata-mata untuk menyesuaikan dengan keadaan politik di Semenanjung.

“Sejak ditubuhkan namanya Parti Warisan sahaja, itu dalam perlembagaan. Mungkin kita kekalkan nama parti Warisan itu dan tidak payah perkataan ‘Sabah’ kerana di peringkat awal kita cuma gunakan @ Parti Warisan.

“Namun, tidak perlu melakukan perubahan terhadap nama parti,” katanya dipetik laporan media hari ini.

Shafie terdahulu merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Warisan Bahagian Semporna.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata, sudah tiba masanya untuk Warisan melebarkan sayap ke Semenanjung kerana ada rakan-rakan yang ingin bertanding dan menyumbang ke arah pembangunan negara tapi, tidak punya landasan yang sesuai.

Jika dilihat ada parti yang dianggotai oleh kumpulan yang sama sehingga tidak memberi ruang kepada orang lain untuk bertanding.

Maka, beliau memutuskan untuk melebarkan sayap Warisan agar parti itu menjadi landasan pilihan kepada negara dan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Kita akan memantapkan dan memastikan perjuangan dan kekitaan parti seiring dengan kehendak pejuang terdahulu seperti Tunku Abdul Rahman dan Tun Mustapha yang mahukan kita membina sebuah negara tanpa berlandaskan kaum dan agama. Itu perjuangan yang dilaungkan dahulu tapi kita sudah jauh terbabas.

“Walaupun Warisan bukan sebuah parti yang besar namun, kita boleh menjadi pilihan kepada rakyat di negara ini,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, kerjasama dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sudah dibincangkan secara panjang lebar bagi melihat hala tuju gabungan ini dalam usaha meremajakan kepimpinan negara dapat dilakukan.

Mohd. Shafie, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang berkata, seperti diketahui Muda belum berdaftar namun, mereka mempunyai ahli-ahli sedia ada. Peluang harus diberikan kepada mereka untuk sama-sama membantu dalam memimpin negara.

“Jangan anggap orang muda tiada keupayaan. Sebagai parti berbilang kaum, kita mahu menyediakan satu landasan yang membolehkan proses meremajakan kepimpinan negara dapat dilakukan, InsyAllah sedikit masa lagi,” katanya

Tiada ulasan: