HALAMAN SANTAI

Jumaat, 26 November 2021

Najib persoal Bersatu terima ‘katak politik’

MALAYSIA POST

Najib persoal Bersatu terima ‘katak politik’

PENGERUSI Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Razak, mempersoalkan tindakan Bersatu menerima  Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohammadin Ketapi yang meninggalkan Parti Warisan Sabah (Warisan) baru-baru ini.

Tindakan dilakukan Bersatu itu dilihat sangat bercanggah dengan usaha untuk menggubal akta anti lompat parti.

Menurutnya, Naib Srikandi Bersatu Datuk Mas Ermieyati Samsuddin yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) sebelum ini menunjukkan komitmen untuk menggubal akta berkenaan.

Najib berkata, namun sebaliknya parti berkenaan menerima ‘katak politik’ seperti diumumkan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin selepas Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu malam tadi.

“25 Nov 2021: Menteri Bersatu mahu gubal undang-undang untuk haramkan katak politik.

“25 Nov 2021: Bersatu terima katak politik Mohammadin Ketapi dari Warisan. Macam mana ni?” soalnya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Terdahulu dalam satu kenyataan media malam tadi, Hamzah memaklumkan Bersatu menyambut baik keahlian Mohammadin kerana ia bakal mengukuhkan lagi kedudukan Kerajaan Sabah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Menurutnya, penyertaan itu malah akan memberi manfaat besar kepada pembangunan serta kebajikan rakyat di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diwakili bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu.

Pada 29 Oktober lalu, Mohamaddin mengumumkan keluar daripada Warisan dan menjadi wakil rakyat bebas mesra kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di DUN. – Malaysiapost

Tiada ulasan: