HALAMAN SANTAI

Jumaat, 26 November 2021

PRN Sarawak: Dewan Muslimat PAS Malaysia sedia hantar petugas

Oleh : SARINA ISMAIL
 


PADANG TERAP: Dewan Muslimat PAS Malaysia bersedia menghantar petugas untuk membantu Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 pada 18 Disember akan datang.

Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, sungguhpun begitu, pihaknya akan menunggu arahan dan keputusan PAS Pusat terlebih dahulu berkenaan hal itu. 

“Kita tunggu arahan dulu.Bukan sahaja Dewan Muslimat, Dewan Pemuda juga begitu. Samada perlu hantar kontijen (petugas) atau tidak. Semuanya masih dalam proses,” ujarnya ketika ditemui HarakahDaily di Padang Terap, semalam.

Menurutnya lagi, sehingga kini belum ada keputusan rasmi (hitam putih) sama ada PAS akan meletakkan calonnya pada PRN negeri berkenaan.

Sungguhpun begitu, tambahnya, PAS sentiasa bersiap sedia dan sudah mempunyai pengalaman bertanding pada PRN Sarawak sebelum ini.

“Sebelum ini PAS sudah banyak kali bertanding di Sarawak dan harapnya untuk PRN kali ini, PAS diberi laluan,” katanya lagi.

Nuraidah ketika menziarahi empat AJK Dewan Muslimat PAS 
Padang Terap yang masing-masing kematian suami

Walau bagaimanapun kata Nuridah lagi, operasi kali ini kemungkinan seperti PRN Melaka yang lepas memandangkan negara masih berada dalam pandemik Covid-19.

“Oleh itu andai diarahkan nanti, petugas yang hadir ke Sarawak terpaksa dihadkan juga seperti PRN Melaka baru-baru ini. Namun dalam apa juga keadaan, kita (muslimat) sentiasa bersiap siaga dan menyahut cabaran,” tambah beliau.

Sempena lawatannya ke Kedah, Ahli Dewan Negara itu menziarahi empat balu dari kalangan ahli jawatankuasa (AJK) Dewan Muslimat PAS Padang Terap yang masing-masing kematian suami. 

AJK Dewan berkenaan ialah Ketua Lajnah Kebajikannya, Fatimah Abdul Halim; Ketua Dewan berkenaan, Sariah Salam; Setiausahanya, Sofiah Othman dan juga Timbalan Ketuanya, Rosna Hamid.

Dalam masa yang sama Dewan Muslimat PAS Padang Terap juga kehilangan ahli jawatankuasanya (bendahari) yang komited, Siti Rubiah Mahmud. HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: