HALAMAN SANTAI

Jumaat, 26 November 2021

Kelakuan Ahli Parlimen bazir masa kena tegur

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN
 


KUALA LUMPUR: Bagus atau penting macam mana sekali pun soalan, namun jika soalan Ahli Parlimen berada pada kedudukan ke-20 dalam Sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, jangan haraplah soalan itu dapat ditanya.

Sejak permulaan persidangan Dewan Rakyat kali ini, tidak pernah sekali pun soalan ke-20 sempat ditanya. Kebiasaannya, hanya setakat soalan ke-11 dan ke-12.

Jumlah soalan yang ditanya pula sangat banyak, kadang-kadang mencecah hingga 60 hingga 70 soalan.

Memang jika tidak sempat ditanya, soalan akan dijawab dalam bentuk bertulis. Namun Ahli Parlimen yang mendapat peluang pertanyaan, boleh bertanya satu soalan tambahan untuk memperhalusi isu dibangkitkan. Dua Ahli Parlimen lain mendapat peluang sama.

Hanya sedikit soalan dapat ditanya berpunca akibat sikap segelintir Ahli Parlimen mengambil kesempatan untuk berbahas ketika bangun bertanyakan soalan.

Isu yang sudah lama berlarutan ini akhirnya mendapat perhatian khusus Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, semalam.

Sebenarnya sebelum ini, beliau dan timbalannya, berulang kali menegur sikap Ahli Parlimen terbabit, dengan berkata seperti : “YB…. terus tanya soalan”.

Bagi sesetengah Ahli Parlimen, mereka akur dan terus bertanyakan soalan, namun masih ada yang mencari helah untuk menghabiskan sasaran `perbahasan’ mereka.

Perbahasan yang tidak sepatut ini, berlaku dalam pelbagai bentuk. Ada yang berceritakan masalah kawasan masing-masing dan ada juga yang lebih bermotifkan politik dengan mengambil kesempatan untuk membelasah Ahli Parlimen tertentu.

Bagi yang sering mengikuti perjalanan persidangan Dewan Rakyat, Ahli Parlimen yang suka membazir masa ini biasanya adalah muka yang sama.

Oleh kerana sistem Parlimen Malaysia mengikut acuan United Kingdom (UK), Yang Dipertua Dewan Rakyat mengambil contoh House of Commons (Dewan Rakyat di UK) yang setiap soalan hanya diberikan 30 saat, manakala seminit untuk jawapan.

Bagaimanapun, katanya di Dewan Rakyat, ada Ahli Parlimen mengambil peluang mencecah sehingga dua hingga tiga minit ketika bertanya soalan.

“Saya dapati kita hari ini (25 November), baru soalan nombor empat, sejam. Ini adalah satu perkara yang amat tidak memuaskan hati… saya dapati tadi dari pejabat saya, ada Yang Berhormat semua bangun untuk berbahas. Ini tak ikut peraturan.

“Peraturan 24 (4) nyatakan dengan terang sesuatu pertanyaan itu tidak boleh dijadikan helah untuk berbahas. Ini bukan waktu berbahas. Ini waktu pertanyaan dan waktu menteri menjawab,” katanya.

Azhar berkata, Sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan adalah mulai jam 10.30 pagi hingga 12 tengah hari, manakala 30 minit sebelum itu adalah untuk Sesi Waktu Pertanyaan Menteri. 

Beliau meminta Ahli Parlimen menghentikan amalan berbahas ketika sesi soal jawab, memandangkan asas di sebalik pertanyaan di Dewan Rakyat adalah memberikan sebanyak mungkin pertanyaan ditanya dan sebanyak mungkin dijawab.

“… bukan dibolot oleh Ahli Yang Berhormat yang mendapat soalannya top 10. Bukan, bukan begitu. Jadi, saya hendak pohon kerjasama semua, tak nak lah bahas, mukadimah tu sikit dan dijawab terus. Jangan mukadimah panjang.

“Saya dapati sebelum ini yang mukadimahnya seminit setengah, soalannya 10 saat. Tidak elok macam itu sebab ia mengambil masa Yang Berhormat lain untuk menanyakan soalan,” katanya.

Apakah amalan berbahas ketika bertanyakan soalan ini dapat dihentikan atau dikurangkan? Jawapannya, tunggu dan lihat. Namun bukan mudah untuk mengubah sikap yang sudah biasa ini dan mungkin memerlukan masa untuk menjadi budaya baharu di Parlimen.

Ini juga memerlukan ketegasan berterusan Yang Dipertua dan timbalannya untuk mendisiplinkan segelintir Ahli Parlimen terbabit. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: