MALAYSIA POST
PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah atas kejayaan besar Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 semalam.
Beliau yang juga Presiden Umno, berkata penguasaan besar GPS itu dilihat sebagai manifestasi rakyat yang mahukan kerajaan dipimpin oleh parti politik berpengalaman serta terbukti dalam mentadbir dan menguruskan kebajikan rakyat.
“BN ingin merakamkan ucapan setinggi tahniah kepada Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang memimpin GPS di atas kejayaan besar menguasai 76 Dewan Undangan Negeri (DUN) dari 82 yang dipertandingkan dalam PRN Sarawak ke-12.
“Peningkatan sebanyak 4 kerusi dari 72 kerusi yang dimenangi semasa PRN ke-11.
“Penguasaan besar GPS ini adalah manifestasi rakyat yang mahukan kerajaan yang dipimpin oleh parti politik yang berpengalaman serta terbukti dalam mentadbir dan menguruskan kebajikan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, GPS dengan manifesto ‘Demi Kestabilan, Kemakmuran dan Kegemilangan Sarawak’ selaras manifesto BN di Melaka iaitu ‘Kestabilan Demi Kemakmuran’ telah terbukti diterima rakyat.
“Kestabilan politik adalah titik noktah kepada polemik politik yang berlaku dalam negara. Kemajuan negara akan lebih pesat jika politik stabil dan membawa kepada kemakmuran hidup.
“Kerajaan rapuh pasti sukar menyusun perancangan untuk rakyat,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, sudah sampai masanya negara mendapat kerajaan yang stabil di peringkat Parlimen dengan mandat rakyat yang baharu.
“Dengan mandat baharu ini kita berganding bahu bersama mengembalikan Malaysia ke era yang gemilang.
“Hanya kerajaan yang stabil mampu memakmurkan negara dan membela kepentingan rakyat,” katanya. – Malaysiapost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan