Awas ejen hantar pelajar ke 'U hantu'
Oleh TURMADZI MADUN
PETALING JAYA - Hasrat seorang pelajar untuk bergelar doktor dengan melanjutkan pelajaran di sebuah universiti di luar negara hancur selepas ditipu satu sindiket awal tahun ini.
Pelajar perempuan berusia 18 tahun itu bukan sahaja terlepas peluang untuk belajar di universiti ternama itu, malah wang berjumlah RM75,000 yang dibayar secara berperingkat kononnya sebagai pendaftaran awal semester turut lesap.
Mangsa dari sini yang merupakan anak pasangan guru mula termakan kata-kata manis sindiket itu selepas terbaca satu iklan di dalam satu akhbar awal tahun ini.
Mengikut iklan tersebut, sindiket berkenaan mendakwa mereka merupakan ejen sah yang dilantik oleh pihak universiti luar negara tersebut bagi menguruskan pengambilan pelajar di sini.
Malah bagi menarik lebih ramai mangsa, sindiket itu turut menawarkan beberapa tawaran hebat lain seperti memberi diskaun pembayaran dan buku percuma.
Teruja dengan tawaran tersebut, mangsa antara pelajar yang telah ke pejabat sindiket itu di sini.
Di pejabat itu, mangsa telah ditunjukkan dengan beberapa dokumen serta surat pentauliahan salah sebuah universiti luar negara yang memaklumkan mereka dilantik sebagai ejen sah di negara ini.
"Selepas meyakinkan mangsa, suspek meminta mangsa membayar RM75,000 secara berperingkat sebagai bayaran pendaftaran dan semester pertama termasuk tiket penerbangan.
"Selepas membayar sebanyak empat kali, mangsa dengan penuh rasa teruja telah terbang ke negara berkenaan, tetapi sebaik tiba di universiti tersebut, pihak pentadbiran enggan menerimanya," kata jurucakap polis.
Menurut beliau, mangsa yang pelik kemudiannya telah menunjukkan segala dokumen yang diberikan oleh ejen di negara ini sebelum dimaklumkan oleh pihak universiti itu mereka tidak pernah melantik ejen tersebut.
Jurucakap polis itu memberitahu, mangsa yang kecewa terpaksa pulang semula ke negara ini.
Bagaimanapun katanya, mangsa lebih kecewa apabila dia yang pergi semula ke pejabat itu mendapati sindiket tersebut telah berpindah dan tidak dapat dihubungi.
Mangsa kemudiannya telah membuat laporan di sini tiga hari lalu.
Berikutan itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamad berkata, polis meminta orang ramai supaya membuat semakan dengan universiti yang kononnya menawar pengambilan pelajar sebelum membuat sebarang pembayaran atau menerima tawaran belajar di universiti luar negara agar tidak tertipu dengan sindiket tersebut.
Menurutnya, pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) juga bakal menjadi mangsa sekiranya tidak berhati-hati kerana sindiket itu dikesan bergiat di seluruh negara untuk memperdaya mangsa.
Pada 13 November tahun lalu, akhbar melaporkan, seramai 52 orang pelajar Malaysia yang ingin menyambung pelajaran dalam bidang perubatan di Universiti Manipal, India ditipu oleh seorang lelaki yang mendakwa dilantik menjadi ejen bertauliah universiti itu.
Ibu bapa kesemua pelajar itu terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM3.5 juta apabila tempat yang kononnya telah tersedia untuk mereka tidak wujud di universiti itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan