HALAMAN SANTAI

Rabu, 12 Mac 2008

DAP sokong Khalid jadi MB Selangor


SHAH ALAM – DAP memberi sokongan terhadap pemilihan Setiausaha Agung PKR, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk dilantik sebagai Menteri Besar Selangor yang baru.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara, Teresa Kok yang menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam memberitahu partinya akan segera mengadakan rundingan dengan Pas dan PKR bagi menentukan barisan exco negeri.

Teresa berkata, dalam pertemuan semalam, baginda ingin memastikan sama ada dua lagi parti iaitu Pas dan PKR mampu bekerjasama bagi membentuk kerajaan negeri yang baru.

“Saya mewakili para ADUN DAP Selangor yang menang pada pilihan raya 2008 yang lalu untuk menghadap Sultan Selangor untuk menyatakan persetujuan tentang pelantikan Tan Sri Khalid sebagai Menteri Besar (MB) Selangor,” kata beliau.

“Baginda turut ingin melihat ketiga-tiga pati (PKR, DAP dan Pas) bergabung untuk bekerjasama bagi membentuk kerajaan baru negeri Selangor,” tambahnya.

Tuanku telah pun menerima surat sokongan dari parti itu mengenai pelantikan Khalid sebagai pemimpin kerajaan negeri yang baru.

Beliau yang ditemui di luar Istana Kayangan selepas menghadap Sultan Selangor, kelihatan tenang ketika menjawab persoalan dari pihak media.

Teresa memberitahu, dalam perjumpaan yang berlangsung hampir 40 minit itu, beliau turut menekankan tentang cabaran untuk membangunkan ekonomi di negeri Selangor.

“Rakyat telah memilih Barisan Alternatif untuk membaiki ekonomi. Jadi, rakyat mempunyai harapan yang tinggi kepada parti baru yang memerintah, ini merupakan cabaran kepada kami untuk memenuhinya,” katanya.

Katanya, ketiga-tiga parti dalam BA akan berbincang untuk memutuskan siapakah yang bakal menjadi Timbalan Menteri Besar dan keputusannya akan diumumkan kemudian.

Teresa menegaskan bahawa DAP dan Pas tidak menghadapi sebarang masalah untuk membentuk kerajaan baru.

Sementara itu, kira-kira jam 5.00 petang Naib Presiden Pas Pusat, Datuk Hassan Ali pula menyusul untuk menghadap Sultan Selangor.

Bagaimana pun Hassan yang keluar selepas menghadap Sultan, enggan memberi sebarang kenyataan kepada media.

Pada pilihan raya umum Sabtu lalu BA memenangi 36 daripada 56 kerusi DUN, iaitu PKR (15), DAP (13) dan Pas (8), sementara BN memperoleh 20 kerusi.

Tiada ulasan: