Kerajaan P. Pinang lantik dua Timbalan Ketua Menteri
PULAU PINANG: Kerajaan Pulau Pinang hari ini mengumumkan pelantikan dua orang timbalan ketua menteri untuk membantu tugas mentadbir negeri ini.
Ketua Menteri Lim Guan Eng menamakan anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Penanti, Mohammad Fairus Khairuddin dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai sebagai Timbalan Ketua Menteri pertama manakala Adun Perai, Prof Dr P. Ramasamy (DAP) sebagai Timbalan Ketua Menteri kedua.
Dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini pagi ini, Lim berkata mereka akan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas esok.
Lim berkata pelantikan dua timbalan ketua menteri adalah bagi mewakili rakyat berbilang kaum di negeri ini.
Beliau juga berkata akan mengadakan pertemuan dengan Abdul Rahman untuk memaklumkan mengenai barisan exco baru negeri yang terdiri daripada tujuh Adun DAP dan tiga PKR.
Lim bagaimanapun tidak mengumumkan senarai nama Adun yang terpilih untuk menganggotai barisan Exco serta portfolio yang akan diwujudkan.
Ditanya mengenai permintaan satusatunya Adun PAS, Mohd Hamdan Abdul Rahman untuk menjadi anggota Exco Hal Ehwal Agama, Lim berkata kerajaan negeri Pulau Pinang adalah pakatan antara DAP dan PKR, bagaimanapun beliau berharap Mohd Hamdan dapat membantu kerajaan negeri yang baru ini.
Semasa kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah, sebanyak sembilan anggota Exco dilantik selain Ketua Menteri dan timbalannya yang memegang portfolio tertentu.
Lim juga berkata jawatan speaker dan timbalan speaker Dewan Undangan Negeri akan dilantik dalam kalangan Adun PKR. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan