HALAMAN SANTAI

Khamis, 6 Mac 2008

Kos RM3 juta dakwat kekal boleh bantu 6,000 orang miskin
Nur Ab Rahman


KERAMAT (Hrkh) – Kos RM3 juta bekalan dakwat kekal yang dianggap `kecil’ oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) boleh dimanfaatkan untuk memberi bantuan kepada 6,000 orang miskin dan setiap orang boleh mendapat RM400, tegas calon PAS Parlimen P1119 Titiwangsa, Dr Lo’Lo’ Haji Datuk Ghazali.

Tegas beliau, jumlah tersebut begitu bermakna bagi rakyat yang memerlukan, sedangkan SPR menyifatkan jumlah itu agak `kecil’ jika dibandingkan dengan kos pengendalian pilihan raya sebanyak RM200 juta.

"Bila penggunaan dakwat kekal ini dimansuhkan, jumlah RM3 juta itu merupakan satu pembaziran yang begitu besar nilainya. Apa yang dilakukan oleh SPR ini telah

membangkitkan kemarahan rakyat, rakyat tertipu dan ditipu," katanya ketika diminta mengulas mengenai isu pembatalan dakwat kekal oleh SPR Selasa lepas.

Tegas beliau lagi, PAS begitu kesal dan marah dengan sikap tidak professional SPR berhubung perkara itu, sedangkan sebelum ini calon-calon dari Barisan Alternatif begitu komited dengan peraturan-peraturan yang dikenakan.

Perkara itu juga katanya, sama seperti yang berlaku semasa hari penamaan calon di mana SPR telah memansuhkan syarat duti setem dalam borang pencalonan.

"Semua yang dilakukan ini benar-benar menyusahkan kita dan rakyat. Tahun lepas PAS sudah diberi taklimat dan demo penggunaan dakwat kekal, tiga hari sebelum penamaan calon, SPR mewajibkan duti setem, tiba-tiba saat-saat akhir, duti setem seolah-olah tidak ada makna lagi.

"Bayangkan betapa besar kebimbangan kami (calon-calon) dalam usaha mematuhi segala arahan SPR. Saya yakin apa yang dilakukan oleh SPR ini untuk 'menyelamatkan' Umno dan Barisan Nasional yang tidak mematuhi segala arahan tersebut. Ini jelas satu pembohongan kepada rakyat yang dilakukan secara terang-terangan," katanya.

Timbalan Pengerusi SPR, Dato' Wan Ahmad Wan Omar dalam satu kenyataan dalam sebuah laman web berkata, pihaknya telah membelanjakan kira-kira RM3 juta untuk mendapatkan bekalan dakwat kekal ini.

Dari segi nilai kewangan, perbelanjaan mendapatkan bekalan dakwat kekal ini adalah kecil berbanding nilai keseluruhan kos pengurusan pilihan raya iaitu RM200 juta.
"Penggunaan RM3 juta ini boleh dijelaskan kepada kerajaan", katanya.

Sementara itu, Dr Lo’Lo menambah, kesan daripada pembatalan dakwat kekal itu juga turut memberi peluang kepada pihak-pihak tertentu mengundi lebih dari sekali. Ini berdasarkan beberapa aduan yang beliau terima di Titiwangsa mengenai nama pemilih yang mempunyai dua dan tiga tempat mengundi.

"Ada juga bekas tentera yang sudah menukar kad pengenalannya sebagai pengundi awam tetapi namanya masih ada dalam undi pos. Siapa yang mengundi kita pun tak tahu sedangkan mereka sudah menukar kad tentera, ini menunjukkan undi pos satu kepincangan yang masih tidak diperbetulkan oleh SPR.

"Yang kita hairan berani pula SPR beri jaminan tidak ada pengundi hantu. Kalau SPR kata tidak ada pengundi hantu bagaimana boleh ada dua tiga tempat mengundi. Itupun bagi mereka yang prihatin, bagi yang tidak membuat semakan daftar pemilih, siapakah yang akan mengundi bagi pihak pengundi berkenaan?," soal beliau.

Dr Lo’Lo yang juga doktor perubatan meyakini SPR cuba bersekongkol dengan BN untuk memastikan kemenangan BN dalam pilihan raya umum, Sabtu ini.

Katanya, SPR sanggup melakukan apa sahaja tanpa mempedulikan kehendak dan kebimbangan rakyat di samping menafikan hak rakyat untuk memilih kepimpinan negara.

"Banyak sms yang saya terima menyifatkan SPR sebagai 'suruhanjaya pembohonan rakyat', 'suruhanjaya penipu rakyat', saya tidak hairan kalau BN meraih kemenangan kerana cara mereka mencapai kemenangan jauh menyimpang dari faktor-faktor kemanusiaan.

"Bagi PAS yang terpaksa berhadapan dengan seribu satu macam rintangan tetap bersedia dengan apa sahaja keputusan. Saya percaya jika pilihan raya umum dilaksana dengan adil, kemenangan akan menjadi milik kita," katanya. - mns

Tiada ulasan: