HALAMAN SANTAI

Khamis, 13 Mac 2008

Musa Aman Upah KDN Rampas 007-LMT?
Oleh ‘Deep Throat’ Sabah


Kebimbangan Barisan Nasional akan tumbang pada pilihanraya lalu menyebabkan Bahagian Kawalan Penerbitan Teks dan Al-Quran, Kementerian Keselamatan Dalam Negeri telah bertindak ‘merampas’ naskhah yang belum bercetak daripada pencetak buku 007-Lelaki Malaysia Terakhir karya Mutalib M.D.

Tiga orang pegawai KDN, Mohd Nazrie, Amaar Aiman dan Jonyman telah bergegas ke premis pencetak di Lintas Plaza dan ‘memaksa’ pemilik cetakan berkomputer berkenaan mencetak buku tersebut sebelum menyita buku berkenaan.

"Saya tidak tahu tapi saya akan siasat. Jika benar mereka ‘merampas’ buku berkenaan secara tidak sah, maka peguam saya akan mendakwa kerana mereka memiliki buku yang tidak mempunyai ciri-ciri biometrik iaitu cop jari saya," ujar Mutalib ketika ditanya berhubung insiden rampasan berkenaan.

Tegas Mutalib, sewajarnya KDN menghubungi beliau kerana nombor telefon beliau dicetak di halaman kedua buku berkenaan dan bukannya melakukan ‘cetak rompak’ karya beliau yang tertakluk di bawah Akta Hakcipta 1987.

"Rampasan naskhah 007-Lelaki Malaysia Terakhir dibuat dengan cara tidak sah dan peguam saya bercadang untuk membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah kerana pegawai berkenaan mungkin menyalah guna kuasa mereka ketika menjalankan tugas atas desakan pihak tertentu. Tapi itu terpulanglah kepada peguam saya," ujar Mutalib lagi.

Mutalib kesal kerana inilah kali pertama KDN tidak menghormati Akta Hak Cipta 1987 dengan ‘merompak’ karya beliau dan sekaligus melakukan ‘cetak rompak’ tanpa keizinan beliau.

Walaupun rampasan tersebut dilakukan mengikut Seksyen 7, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, namun syarikat percetakannya tidak tertakluk di bawah akta berkenaan kerana ianya dibuat secara digital.

"Saya telah membayar sejumlah RM130 bagi setiap naskhah termasuk kulit kerana saya dikenakan caj 20 sen bagi sehelai muka surat depan belakang, tetapi saya menjualkannya dengan harga RM111," tegas Mutalib bahawa niatnya bukanlah untuk mencari keuntungan, sebaliknya untuk memberi tahu rakyat Sabah bahawa sindrom Pendatang tanpa izin, pemegang IMM13, kad pengenalan palsu dan pengundi untuk disewa bukanlah omongan kosong, malah benar-benar terjadi.

Tegas Mutalib lagi, beliau telah menulis lebih sebelas buah buku secara persendirian dan sembilan buah secara kompilasi, namun hampir kesemua bukunya mendapat gangguan daripada KDN, tetapi anehnya setelah kesemuanya habis dijual, siasatan KDN belum juga selesai.

Kata Mutalib, bukankah lebih baik jika KDN menghubungi beliau untuk mendapatkan naskhah yang sah dan menjalankan kajian secara ilmiah dan bukannya secara syak wasangka kerana semua buku yang dirampas belum dikembalikan.

"Gangguan seperti ini seolah-olah mereka tidak mengetahui bagaimana menjalankan kerja mereka dan menakutkan penulis dengan pelbagai cara. Saya rasa gertakan seperti ini tidak melunturkan semangat saya untuk terus menulis," kata Mutalib yang mendakwa beliau tidak memerlukan permit untuk berkarya atau mencetak buku kerana bukannya penerbitan berkala.

Ketika ditanya kemungkinan rampasan tersebut dibuat ekoran laporan Polis oleh Dr Jeffrey Kitingan di Keningau pada 6 Mac, Mutalib menjelaskan ianya tidak relevan dan masih beranggapan ‘rompakan’ dan’cetak rompak’ karya beliau adalah menyalahi Akta Hak Cipta 1987 dan pegawai berkenaan boleh disabitkan dengan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

"Sekiranya buku saya menghasut rakyat atau mengancam keselamatan Negara, maka ia wajar diambil tindakan sewajarnya, termasuk mengharamkannya. Tetapi buku saya adalah karya sastera sejarah yang dibingkaikan melalui konsep kewartawanan yang lengkap dengan bukti yang melampaui keraguan munasabah," jelas Mutalib lagi.

Siasatan Malaysia Today mendapati ada kemungkinan arahan rampasan berkenaan dibuat oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman kerana buku berkenaan mendedahkan penglibatan aktif beliau dalam kegiatan subversif memberi kerakyatan kepada warga asing.

Keadaan ini diperkuatkan lagi apabila PDRM telah memanggil Mutalib dan penerbitnya untuk memberi keterangan kerana dipercayai siasatan polis hanya tertumpu kepada penglibatan Musa Aman dalam Skandal IC Projek sebagaimana yang didakwa oleh Haji Jabar Khan Napi di hadapan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Integriti.

Namun Mutalib enggan mengulas lanjut kerana kes berkenaan masih dalam siasat polis, namun yakin polis akan menyiasat secara professional berdasarkan keterangannya di balai polis Karamunsing baru-baru ini.

Tiada ulasan: