Pembatalan dakwat kekal berkait dengan 'pengundi hantu'
Abdul Halim Mohd Rashid
KOTA BHARU (Hrkh) - Sambil menyifatkan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membatalkan cadangan menggunakan tanda dakwat kekal di kuku atau jari tangan pengundi pada pilihan raya umum Sabtu ini mempunyai kaitan yang tidak terpisah dengan 'pengundi hantu', Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu mengulangi ingatan bahawa tindakan yang sewajarnya akan dipastikan.
"Tindakan pertama kita ialah menyeru rakyat menggunakan kuasa tangkapan orang awam (citizen arrest) ke atas 'pengundi hantu'. Rakyat yang mahu pilihan raya yang adil dan bersih mesti menggunakan kuasa mereka itu.
"Jika tidak ada kerjasama dari pihak berkuasa, ia seolah-olah bermakna rakyat diberi pilihan untuk mengambil tindakan yang lain," kata beliau yang memang menjangka pembatalan penggunaan dakwat kekal itu.
Mohamad Sabu menyifatkan semua cakap-cakap mengenai penggunaan tanda dakwat itu adalah siri-siri pembohongan yang sengaja direka dan dirancang untuk menipu rakyat kononnya pilihan raya di negara ini berjalan dengan adil dan bersih.
"Kerajaan Barisan Nasional (BN) telah menunjukkan dengan jelas ia memang tidak mahu menggunakan tanda dakwat itu kerana takut kepada pilihan raya yang adil dan bersih," katanya ketika dihubungi.
Beliau mempertikaikan, jika BN boleh mengerah ahli-ahli Parlimennya untuk menyokong dan meluluskan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2007 yang melanjutkan umur persaraan anggota SPR daripada 65 tahun kepada 66 tahun, mengapa tidak diluluskan peraturan supaya dimestikan penggunaan dakwat kekal?
"Pindaan Perlembagaan tersebut yang sebenarnya dibuat untuk membolehkan (Pengerusi SPR Tan Sri Abdul) Rashid (Abdul Rahman) terus mengepalai pengendalian pilihan raya umum kali memerlukan sokongan dua pertiga ahli-ahli Parlimen.
"Kalau perkara itu boleh dilakukan oleh kerajaan BN, mengapa tidak pinda peraturan pilihan raya untuk mewajibkan penggunaan dakwat kekal? Perkara itu tidak memerlukan sokongan dua pertiga ahli-ahli Parlimen," katanya.
Oleh sebab itu, katanya, rakyat sendiri yang mesti memastikan pilihan raya berjalan dengan adil dan bersih.
Beliau menyifatkan tindakan itu sengaja mengundang keyakinan rakyat bahawa BN tidak mahu menang dengan undi rakyat tetapi mahu terus berkuasa dengan tipu-helah yang memperalatkan SPR, terutama Abdul Rashid.
Ketika diminta mengulas lebih lanjut mengenai perkara itu, Mohamad Sabu enggan mengulas dan hanya menyatakan, "kita pilihan raya dulu".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan