Harga petrol diesel naik, apa pilihan rakyat?
PETALING JAYA: Selepas lebih 12 jam kerajaan mengumumkan kenaikan harga petrol dan diesel yang masing-masing meningkat 78 sen dan RM1 bagi setiap liter, kuat kuasa hari ini, sebahagian besar rakyat masih diselubungi kejutan.
Apa pilihan yang ada bagi rakyat jelata dalam hal ini? Apa yang perlu dilakukan selepas ini?
Ketika mengula perkembangan baru ini, Timbalan Presiden Persatuan Pengusaha Pengilang dan Industri Kecil Bumiputera Malaysia, Mejar (B) Abdul Rahman Ibrahim berkata, kenaikan harga minyak akan menyebabkan kesukaran kepada Industri Kecil dan Sederhana (IKs).
"Mereka diramal akan mengalami kesusahan kerana ratarata mereka menggunakan kenderaan sendiri. Kenaikan ini terlalu drastik dan mengejutkan. Bagaimanapun, kita di peringkat persatuan akan menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menerima maklum balas daripada ahli mengenai sebarang permasalahan yang dihadapi," katanya.
Beliau berkata kerajaan juga dicadangkan mewujudkan tabung dan skim tertentu bagi membantu usahawan bumiputera untuk mengelakkan usahawan IKS daripada terbeban.
Penasihat Gabungan PersatuanPersatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Hamdan Adnan sudah menjangka kenaikan harga minyak petrol dan diesel akan berlaku rentetan kenaikan harga barang keperluan sebelum pilihan raya awal tahun ini.
"Apa yang penting sekarang ini pengguna perlu menerima hakikat sebenar kenaikan harga baru minyak walaupun ia merupakan masalah global, tetapi ia masih baik berbanding dengan negaranegara membangun yang lain.
"Tetapi jangan sampai berlaku perkara yang negatif dari sudut jenayah dan sosial lain kerana masyarakat khususnya berpendapatan rendah terdesak bagi mendapatkan sumber kewangan lain dalam memastikan kehidupan yang lebih sempurna," katanya.
Pengguna juga dinasihatkan agar jangan mudah panik ketika berdepan dengan situasi sebegini sehingga bersikap tidak bertimbang rasa untuk mendapatkan minyak selain memilih untuk menggunakan pengangkutan awam, katanya.
Sementara itu, Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Omar Osman menasihatkan pengguna supaya membuat pertimbangan agar tidak sampai ke tahap menjual kereta hanya kerana tidak mampu membayar harga petrol.
Omar menasihatkan agar pengguna bersabar dan mengimbangi perbelanjaan harian kerana Cuepacs turut menjangkakan kenaikan harga barangan yang lain pada masa akan datang.
Presiden Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Marimuthu Nadason menggesa pengguna menukar gaya hidup mereka ekoran kenaikan harga minyak.
Menurutnya, kenaikan harga minyak yang diumumkan semalam merupakan kesan daripada kenaikan minyak di peringkat global.
“Kerajaan sudah berusaha membantu rakyat namun kita perlu menerima hakikat ini merupakan kesan kenaikan harga minyak di peringkat global,” kata Marimuthu ketika dihubungi oleh mStar Online hari ini.
Jelasnya apa yang boleh dilakukan adalah pengguna mengamalkan gaya hidup yang sederhana dan merancang ekonomi masing-masing.
“Tiada apa yang mampu dilakukan melainkan pengguna di negara ini mengubah cara hidup mereka terutamanya dari aspek perbelanjaan dan mengamalkan dasar berjimat cermat dalam kehidupan mereka,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menggesa kerajaan agar meningkatkan kecekapan pengangkutan awam di negara ini ekoran daripada kenaikan harga minyak.
Dengan kenaikan itu, yang mengejutkan banyak pihak, harga baru petrol dipam adalah RM2.70 seliter manakala diesel RM2.58 seliter.
Kenaikan terakhir dikuatkan oleh kerajaan ialah pada 28 Februari 2006 melibatkan kenaikan 30 sen bagi seliter petrol kepada RM1.92 seliter.
Bercakap pada sidang akhbar di Putrajaya petang semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, bagi mengurangkan beban kenaikan petrol dan diesel khususnya kepada golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana, Kabinet bersetuju memberi bayaran tunai kepada warga Malaysia yang memiliki kenderaan persendirian termasuk pemilik motosikal.
"Bagi pemilik kenderaan persendirian yang berkapasiti enjin sehingga 2000cc (kuasa kuda) serta trak pikap dan jip berkapasiti enjin sehingga 2500cc, bayaran tunai sebanyak RM625 setahun bagi setiap kenderaan akan diberikan.
"Bagi pemilik motosikal persendirian berkapasiti enjin sehingga 250cc, bayaran tunai sebanyak RM150 setahun bagi setiap motosikal akan diberikan," katanya. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan