HALAMAN SANTAI

Jumaat, 6 Jun 2008

Gula mungkin naik tapi harga beras pulut, wangi turun esok
Oleh NURUL AIN HUSSAIN


PETALING JAYA: Selepas ini giliran harga gula pula? Harga gula di negara ini kemungkinan naik ekoran kenaikan harga gula di peringkat global.

Demikian komen Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd Zain Mohd Dom ketika ditanya mengenai ura-ura kenaikan harga gula di negara ini.

Menurut Mohd. Zain, kerajaan dijangka menandatangani satu perjanjian jangka panjang yang baru dengan Australia penghujung tahun ini.

"Sekarang harga gula sejagat telah naik dan harga tersebut berbeza dengan harga yang telah ditandatangani dalam kontrak lalu," katanya kepada pemberita selepas menjadi panel forum bertajuk Kemelut Kenaikan Harga Makanan - Apa Kesudahannya di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di sini hari ini.

"Kita jangka akan menandatangani satu perjanjian baru penghujung tahun ini, berdasarkan harga pasaran sejagat, ia akan menjadi lebih tinggi ," katanya.

Sementara itu, Padiberas Nasional Berhad (Bernas) hari ini mengumumkan penurunan harga borong bagi beras wangi dan beras pulut yang diimport dari Thailand berkuat kuasa tengah malam esok.

Menurut Pengarah Urusan Bernas, Bakry Hamzah penurunan harga beras wangi dan pulut ini ekoran daripada kejayaan Bernas membeli bekalan tersebut pada harga yang rendah.

"Kita telah membeli bekalan tersebut dengan harga diskaun sejak akhir-akhir ini dari Thailand dan tiba masanya kita mahu memberi harga yang murah kepada pengguna," katanya.

Beliau berkata, bagi beras wangi Thai jenis AAA akan dikurangkan daripada RM4,700 kepada RM4,000 per tan metrik bersamaan dengan penurunan sebanyak 14.89 peratus.

Manakala beras wangi gred A turun 15.22 peratus daripada RM4,600 kepada RM3,900 setan metrik. Harga beras pulut pula diturunkan daripada RM3,350 kepada RM3,000 iaitu 11.6 peratus penurunan.

Bakry yang ditemui pemberita selepas forum itu berkata penurunan yang dibuat itu sejajar dengan penurunan harga beras di Thai dan menjangka harga beras akan terus turun.

"Kami akan membuat penyelarasan dari semasa ke semasa dan secara amnya harga beras dunia telah menurun daripada AS$1,200 (RM3,908) setan matrik kepada AS$800 (RM2,606)," katanya.

Beliau berkata berdasarkan corak ini harga pasaran beras akan terus menurun dan Bernas menunggu masa yang sesuai untuk mengumumkan harga baru beras.

Katanya harga beras itu akan turun tetapi dijangka tidak akan kurang daripada AS$600 (RM1,954) setan metrik.

Beliau berkata selepas Bernas diswastakan pada 1996, Bernas membuat keuntungan dengan mengikut harga pasaran beras di peringkat dunia.

"Kita membeli beras pada masa-masa tertentu yang sesuai iaitu apabila harganya munasabah. Bernas memberi jaminan bahawa kami akan sentiasa peka dengan pasaran harga beras semasa," katanya.

Tiada ulasan: