HALAMAN SANTAI

Jumaat, 6 Jun 2008

Pengusaha lori mula naikkan sewa
Oleh SITI ATHIRAH DZULKIFLY


KUALA LUMPUR – Para pengusaha lori hari ini mula menaikkan kadar sewa lori sebanyak 35 peratus berikutan keputusan kerajaan menaikkan harga petrol dan diesel.

Setiausaha Agung Persatuan Pengusaha-Pengusaha Lori Selangor dan Kuala Lumpur, Alvin Choong berkata, selain menaikkan kadar sewa, pihaknya turut memendekkan tempoh kredit sewaan yang dikenakan kepada penyewa daripada 60 hari kepada 30 hari sahaja.

Beliau berkata, keputusan tersebut dibuat selepas satu mesyuarat tergempar persatuan itu diadakan sejurus kerajaan mengumumkan kenaikan mendadak petrol sehingga RM2.70 seliter dan menaikkan harga diesel sebanyak RM1 kepada RM2.58 seliter.

“Kami terpaksa berbuat demikian kerana kami kini terpaksa membeli diesel pada harga yang lebih mahal.

“Dulu kos diesel untuk sebuah lori bermuatan 10 tan ialah RM3,000 sebulan, tetapi dengan kenaikan harga diesel kepada RM2.58 seliter, kami kini perlu membayar RM5,000 sebulan.

“Kami tidak mempunyai pilihan kecuali menaikkan kadar sewa. Kami berharap kerajaan akan meneliti semula harga bahan bakar bagi membantu mengurangkan beban yang dihadapi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Alvin Choong menjelaskan, kenaikan kadar sewa yang sama turut dilakukan pengusaha lori di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang manakala para pengusaha lori di Johor menaikkan kadar sewa sebanyak 40 peratus.

Beliau berkata, keputusan kerajaan menaikkan harga diesel sangat membebankan pengusaha lori selain dijangka boleh mencetuskan kenaikan harga bahan-bahan lain.

Katanya, pengusaha lori juga berhadapan dengan beban kenaikan harga produk minyak pelincir dan tayar sebanyak antara 20 hingga 25 peratus.

Beliau berkata, harga alat-alat gantian, bahan besi serta bahan-bahan sampingan lain turut meningkat antara 30 sehingga 50 peratus.

“Memandangkan kesan harga minyak terlalu mendadak, ada di antara ahli persatuan kami bercadang untuk menghentikan operasi sehingga kadar baru sewa lori diperkenalkan,” katanya.

Tiada ulasan: