HALAMAN SANTAI

Ahad, 24 Ogos 2008

Permatang Pauh : Persaingan untuk meraih undi Melayu semakin rancak
Oleh: Hafiz Mohd Baqi


BUKIT MARAJAM: Rata-rata pemerhati politik yang mengikuti perkembangan di Permatang Pauh hampir sekata calon parti keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menghadapi masalah besar untuk mendapatkan sokongan pengundi bukan Melayu pada 26 Ogos akan datang.

Peningkatan sokongan terhadap Anwar dari masyarakat Cina khususnya, semakin ketara dihari-hari terakhir berkempen. Dalam satu program makan malam di Seberang Jaya malam 22 ogos lalu misalnya dihadiri lebih 2000 masyarakat Cina dan India.

Situasi yang sama turut dilihat dalam program di pekan-pekan lebih kecil seperti di Pekan Penanti dan Pekan Permatang Pauh.

"Sokongan Cina dan India lebih mudah diukur kerana mereka yang hadir kebanyakannya orang tempatan," kata seorang petugas PKR yang mengendalikan majlis makan malam di Seberang Jaya. Anwar, Khalid Ibrahim, Azmin Ali dan Nurul Izzah yang berucap pada malam itu mendapat tepukan gemuruh dari keseluruhan yang hadir.

Selain itu, sekongan terbuka dan penglibatan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam kempen Anwar juga meletakkan Barisan Nasional (BN) hampir mustahil dapat meraih sokongan besar pengundi bukan Melayu dalam masa yang cukup singkat sebelum selasa ini.

Daripada 58,459 pengundi di Permatang pauh, 24.56 peratus (14,360) daripadanya adalah pengundi Cina dan 5.79 peratus (3,390) pula pengundi keturunan India. Bagaimanapun sokongan daripada pengundi Melayu yang mewakili hampir 70 peratus atau 40,619 pengundi Permatang Pauh masih sukar dijangka walaupun tempoh berkempen hanya tinggal kurang daripada tiga hari. Program-program ceramah Anwar dan para pimpinan Pakatan Rakyat yang diadakan saban malam turut sukar membuat ukuran sejauh mana sokongan pengundi kepada Anwar walaupun ada diantara program ceramah dihadiri puluhan ribu orang.

Menurut petugas Jentera pilihan raya PKR, orang luar terlalu ramai hadir terutama dari Kulim, Sungai Petani dan dari kawasan parlimen berhampiran selain dari petugas Pakatan Rakyat yang datang membantu Anwar daripada seluruh negara. Dalam masa yang sama petugas wanita dan puteri Umno yang semakin agresif berkempen dari rumah kerumah dipercayai bakal menjadikan persaingan merebut undi Melayu akan bertambah sengit.

"Bimbang" kata seorang pimpinan Angkatan Muda PKR Pusat, Zulfikar ketika ditemui di Seberang Jaya. Tetapi katanya, beliau tidak mendengar laporan ada kawasan kritikal.

"Umno menggunakan isu bertubi-tubi menyerang Anwar di sat-saat akhir mungkin akan menggoyangkan pengundi atas pagar," ujar beliau. BN kini memperhebatkan serangan ke atas Anwar dengan pelbagai isu disamping terus menjadikan isu liwat sebagai senjata mereka. Di
beberapa jalan utama, jentera BN didapati mengedarkan Vcd perakuan sumpah Saiful Bukhari kepada orang ramai yang lalu lalang dikawasan ramai pengundi Melayu.

Selain itu turut dibawa berceramah untuk melawan kempen Anwar ialah bekas ketua AMK, Ezam Mohd Nor, rakan tenis Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk S. Nallakaruppan dan Bekas Naib Presiden PKR, Saidatul Badru Said Keruak.

Namun demikian, perkembangan tersebut turut dilihat BN agak terdesak khususnya kebimbangan mereka terhadap kempen Anwar bakal menjadi Perdana Menteri jika diberi peluang dalam pilihan raya kecil ini menjadi ahli Parlimen.

BN dikatakan sedang bekerja keras untuk meyakinkan pengundi Melayu bahawa dakwaan Anwar bakal mengambil alih pentadbiraan negara pada 16 September ini hanyalah satu pembohongan.

Satu ceramah khas bertajuk 'Anwar jadi PM 16 September pekan Permatang Pauh turut dianjurkan oleh BN untuk menjawab kempen tersebut disamping menurunkan pimpinan BN daripada sabah bagi menafikan dakwaan ramai ahli Parlimen daripada negeri itu akan menyertai Pakatan Rakyat.

Dalam tinjaun Siasah pula, bendera-bendera, poster dan banting PKR menguasai hampir semua kawasan stategik di kawasan mejoriti pengundi Melayu. Sepanjang jalan daripada Kubang Semang, Pekan Penanti, Kampung Petani, Kepala Bukit, Pematang Ara, Pematang rambai dan Pematang Pasir dipenuhi dengan bendera PKR yang hanya sedikit diselang-seli oleh bendera BN.

Gambaran yang sama turut dilihat dilokasi jalan menuju pekan Permatang Pauh, Seberang Jaya, Sama Gagah, Tanah Liat dan Guar Perahu. Di Permatang Pasir pula Petugas PAS dilihat bertungkus lumus menggerakkan jentera membantu kempen Anwar.

Permatang Pasir merupakan kawasan Dewan Undangan Negeri yang diwakil oleh PAS dalam pilihan raya umum lalu.

Gerak kerja daripada PAS yang menurunkan ramai pimpinannya dilihat dapat menguatkan sokongan daripada pengundi Melayu kepada Anwar dari kawasan itu.

Dua bilik gerakan PAS dibuka dalam kawasan tersebut iaitu di Pusat Khidmat masyarakat Adun Pengkalan Pasir dan disebuah Pasti yang dijadikan pejabat jabatan Pilihan Raya Negeri. Sementara itu di pihak Anwar, kempen pada hari ketujuh semakin diperhebatkan setelah kempen pada hari kelima dan keenam agak perlahan ekoran hujan lebat sejak pagi hingga ke petang.

Risalah berupa menifesto yang mengandungi janji Anwar sekiranya menjadi PM iedarkan sejak tengah hari hingga ke malam termasuk kepada kenderaan yang melalui jalan dikawasan pilihan raya. Selain itu jentera kempen Anwar turut menyediakan sebuah televisyen besar yang dibawa dengan sebuah treiler untuk menayangkan visual-visual kempen termasuk kenyataan-kenyataan daripada Anwar serta pimpinan Pakatan Rakyat yang bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain sekitar permatang pauh.

Anwar sendiri hari ini turut memulakan programnya sejak awal subuh dan bergerak ke semua kawasan dengan pelbagai program yang diatur. Antara tempat yang menjadi tumpuan adalah majlis kenduri kahwin, perjumpaan dengan ibu tunggal, meraikan kemasukan ahli baru dan program solat hajat selepas Magrib.

Tiada ulasan: