Che Mat: Sumpah laknat Saiful tidak pengaruhi siasatan Jawi
KUALA TERENGGANU: Sumpah laknat yang dibuat oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan untuk membuktikan beliau bercakap benar atas dakwaannya diliwat oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan mempengaruhi siasatan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) berhubung dakwaan liwat mengikut kesalahan Qazaf.
Pengarahnya, Datuk Che Mat Che Ali berkata, ini kerana sumpah laknat yang dilakukan oleh Mohd Saiful dan siasatan mengenai tuduhan liwat yang dijalankan mengikut kesalahan Qazaf oleh jabatan itu tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain.
"Siasatan dakwaan mengikut kesalahan qazaf dilakukan mengikut proses undang-undang dan keputusannya hanya ditentukan oleh mahkamah manakala sumpah laknat itu merupakan satu perbuatan di masjid.
"Sehubungan itu, sumpah laknat yang dibuat oleh Mohd Saiful tidak akan mempengaruhi siasatan yang dijalankan," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Wanita Islam bertajuk `Cabaran Remaja Masa Kini' anjuran Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Terengganu di sini hari ini.
Che Mat berkata, JAWI telah selesai mengambil keterangan daripada keduadua yang terlibat dalam kes berkenaan dan kes itu dijangka akan dibawa ke mahkamah dalam tempoh terdekat.
Pada 9 Julai lalu, Anwar yang merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri itu telah membuat satu laporan di JAWI menuntut agar tindakan undangundang syariah diambil di bawah peruntukan Qazaf terhadap Mohd Saiful yang mendakwa diliwat olehnya.
Undang-undang syariah di Wilayah Persekutuan mempunyai peruntukan Qazaf iaitu hukuman ke atas sesiapa yang membuat tuduhan zina palsu terhadap orang lain mengikut Seksyen 41, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997.
Mengikut peruntukan itu, sesiapa yang menuduh orang lain melakukan zina tanpa mengemukakan empat saksi lelaki atau ikrar (pengakuan) orang yang dituduh dan ia adalah satu kesalahan yang jika disabit boleh dihukum penjara tidak lebih tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan