HALAMAN SANTAI

Sabtu, 23 Ogos 2008

Koternak tawar latihan percuma kepada siswazah menganggur

SERDANG: Koperasi Penternak dan Pengimport Ternakan Malaysia Bhd (Koternak) sanggup melatih siswazah yang menganggur secara percuma untuk menjadi tenaga kerja di Pusat Tenusu Nasional (PTN).

"Koternak telah memperuntukkan dana keahlian sebanyak RM30 juta untuk mengambil pelatih siswazah sebagai tenaga kerja yang akan mengusahakan projek ini," kata pengerusi koperasi tersebut Jagjit Singh di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2008, di sini hari ini.

Beliau berkata siswazah yang berminat untuk menyertai Koternak akan diberi pendaftaran secara percuma, sementara bayaran untuk saham hanya akan dikenakan selepas mereka telah memperolehi keuntungan daripada hasil ternakan.

Katanya antara 2,000 hingga 3,000 siswazah yang terpilih akan dilatih selama enam bulan oleh tenaga pengajar dari Jabatan Veterinar, Jabatan Pertanian dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan.

Menurut beliau, mereka yang terpilih bukan sekadar mendapat latihan sebagai tenaga kerja di PTN atau sebagai tenaga pengajar Koternak tetapi akan turut menerima latihan intensif dalam bidang pengurusan, pentadbiran dan penternakan tenusu.

Katanya, siswazah yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan melayari laman web Koternak di www.koternak.com. BERNAMA

Tiada ulasan: