HALAMAN SANTAI

Jumaat, 22 Ogos 2008

Kes liwat: Rumah Petra digeledah polis
MALAYSIAKINI


Rumah pengendali blog popular Malaysia Today pagi ini diserbu polis, dilaporkan berhubung siasatan akuan berkanun seorang doktor Hospital Pusrawi dalam kes liwat yang didakwa membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut laporan blog itu, sekumpulan polis menggeledah rumahnya dekat Bandar Baru Sungai Buloh mulai jam 8 pagi tadi.

Polis merampas sebuah komputer riba, alat pengimbas dan beberapa dokumen dalam serbuan selama dua jam, laporan itu dipetik.

Blog itu menyebut Raja Petra akan disiasat polis selepas pilihanraya kecil Permatang Pauh pada 26 Ogos ini.

Akuan berkanun doktor hospital swasta itu pertama kali muncul di Malaysia Today pada hari Anwar dituduh di mahkamah, 7 Ogos lalu.

Dalam akuan berkanunnya bertarikh 1 Ogos lalu, Dr Mohamed Osman Abdul Hamid berkata, beliau tetap berpegang kepada hasil pemeriksaannya ke atas Mohd Saiful Bukhari Azlan, pemuda yang mendakwa diliwat oleh Anwar.

Anwar dibawa ke mahkamah sehari selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh pilihanraya kecil itu yang diadakan selepas kekosongan yang ditinggalkan oleh penyandangannya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, isteri Anwar.

Dr Mohamed Osman memeriksa Mohd Saiful beberapa jam sebelum pemuda itu membuat laporan polis 28 Jun lalu.

Mohd Saiful kemudiannya membuat pemeriksaan sekali lagi di Hospital Kuala Lumpur.

Dalam laporan perubatannya, yang dibocorkan kepada media, Dr Mohamed Osman menyatakan beliau tidak menemui sebarang bukti berlaku liwat.

Beliau juga mendakwa beberapa perenggan dan perkataan telah ditambah kepada kenyataannya kepada polis berkaitan perkara tersebut.

Sebelum ini, Hospital Pusrawi menyatakan bahawa Dr Mohamad Osman tidak membuat sebarang pemeriksaan berkaitan liwat ke atas Mohd Saiful.

Tiada ulasan: