Oleh Nazar Hashim
YAN : PAS berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau mengalahkan calon BN dengan majoriti sebanyak 1,084 undi.
Calon PAS, Mohd Azam Abd Samat mendapat 12,069 undi manakala calon BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim hanya memperoleh 10,985 undi.
Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Abdul Rashid Othman di pusat penjumlahan undi di Dewan Lukman Al-Hakim, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Yan.
Mohd Azam menyifatkan keputusan itu merupakan kemenangan besar kepada pimpinan PAS dan pengundi DUN Sungai Limau yang meyakini kepimpinan Pakatan Rakyat (Pakatan).
“Ini adalah kemenangan Pakatan dan juga untuk memartabatkan hak rakyat serta menunaikan amanah dan tanggungjawab bagi masyarakat di DUN Sungai Limau,” katanya kepada Keadilan Daily.
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang ditemui berkata, rakyat membuat keputusan tepat dengan menolak BN sebagai parti yang tidak relevan untuk dijadikan pemerintah.
“Ia bukan saja membuktikan Bajet 2014 Najib (Razak) ditolak rakyat, tetapi penolakan Umno BN sebagai parti penuh rasuah, korup dan penyelewengan,” katanya.
Timbalan Pengerusi KEADILAN Kedah, Ir Zamri Yusof pula berkata, kemenangan PAS yang mewakili Pakatan simbolik penolakan Bajet 2014 yang menekan rakyat secara menyeluruh.
“GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan), gula, dan pelbagai lagi pengurangan peruntukan bajet yang memihak kepada rakyat, sebaliknya hanya membantu konglomerat dan kroni Umno dan BN sahaja.
“Ini jelas membuktikan Umno BN sudah tidak relevan dan ditolak oleh pengundi di DUN Sungai Limau walaupun pelbagai peruntukan, gula-gula politik ditaburkan bagi mendapat sokongan dalam pilihan raya kecil kali ini,” kata Zamri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan