muktamar pas


SHAH ALAM - Dewan Ulama Pas hari ini berkata, parti itu hanya menunggu "laluan mudah" daripada kerajaan Pusat bagi melaksanakan hukum hudud di negara ini.

Timbalan Ketua Dewan Ulamanya, Datuk Ahmad Yaacob berkata, Pas telah menggubal undang-undang berkaitan dengan jenayah syariah di Kelantan dan Terengganu (Enakmen Jenayah Syariah 1993 dan 2003) dan hanya menunggu laluan daripada kerajaan Persekutuan untuk melaksanakannya.

"Pas telah menjalankan apa yang diperintah dan diharapkan oleh ALLAH di Kelantan dan Terengganu.

"Kita telah wujudkan atau gubal Enakmen Jenayah Syariah pada kedua negeri yang pernah diperintah kita.

"Hanya tinggal kewajipan kerajaan Pusat untuk bagi laluan mudah pada kita untuk laksanakan undang-undang syariah," katanya pada Ucapan Dasar Dewan Ulama Pas, sempena Muktamar Tahunan Pas kali ke-59, di sini, hari ini.

Tambahnya, sangat memalukan apabila Malaysia hanya meletakkan agama Islam sebagai agama rasmi di peringkat Persekutuan, namun tidak kepada pelaksanaan perundangannya.

"... di mana keadaan rakyat majoriti adalah muslim kini masih berdolak dalih untuk meletakkan undang-undang itu di hadapan," ujarnya.