MSTAR ONLINE
KUALA LUMPUR: Wanita Umno mencadangkan Bank Wanita
ditubuhkan bagi membuka peluang sama rata perniagaan kepada golongan
itu, seterusnya membantu matlamat 30 peratus penguasaan ekonomi
bumiputera tercapai.
Ketua Wanita Umno Lumut Dr Azizah Johor berkata institusi perbankan
itu mungkin boleh ditubuhkan dengan gabungan Amanah Ikhtiar Malaysia dan
Tekun yang majoriti besar penerima pinjaman kedua-dua organisasi itu
adalah wanita.
"Mereka ini sudah mempunyai 'database' peminjam yang besar, dan
sudah mempunyai pengalaman," katanya ketika menyokong usul ekonomi pada
PerhimpunanAgung Umno 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini,
Jumaat.
Azizah berkata Bank Wanita itu dicadangkan diletakkan di bawah
seliaan seorang menteri penuh baharu yang boleh dilantik daripada Wanita
Umno.
"Apa salahnya? Wanita ada ahli 1.3 juta... 50 peratus rakyat adalah wanita," katanya.
Mengambil contoh pembukaan Bank Wanita di India pada 19 Nov lepas,
beliau berkata bank itu bertindak sebagai tiga serampang iaitu "bank buat
untung,wanita dapat khidmat sokongan dan kerajaan dapat pastikan
pembangunan golongan wanita dalam persekitaran terurus dan berkualiti."
Azizah berkata sehingga kini jumlah peniaga wanita adalah sangat
rendah berbanding golongan lelaki iaitu menurut SME Corp, daripada
keseluruhan peniaga dalam negara hanya 19.7 peratus wanita.
"Sudah tiba masanya diadakan lab (makmal) bagi merumus satu 'blue
print' bagi matlamat dan tindakan jangka pendek, sederhana dan panjang
yang boleh melonjak wanita dalam perniagaan," katanya.
Beliau turut mencadangkan penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi Wanita
sebagai satu unit di bawah agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera atau
diletak secara langsung di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara.
"Di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Wanita yang dicadangkan ini
hendaklah digubal dasar dan polisi yang mesra wanita, bagi memudahkan
wanita meneroka peluang ekonomi," katanya.- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan