SHAH ALAM – Mana-mana pihak yang menghina agama Islam perlu didakwa meskipun sudah meminta maaf.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pihak-pihak tersebut perlu diberi pengajaran tanpa mengira kaum.
“Kiki minta maaf tapi kena dakwa (seperti yang sepatutnya). Yang ini pun kena dakwa. Beri pengajaran sedikit.
“Bertindak tegas dan cepat pada siapa sahaja tak kira kaum,” katanya yang dipetik melalui laman sosial Facebooknya, semalam.
Beliau memuat naik paparan skrin status Facebook seorang pengguna Facebook yang melahirkan rasa tidak puas hari terhadap laungan azan Subuh.
Terdapat juga paparan skrin pengguna tersebut meminta maaf dan memberitahu telah memadam status berkenaan.
Sementara itu, Pertubuhan SukaGuam Malaysia (SukaGuam) menggesa pihak berkuasa memburu dan mendakwa individu tersebut yang mempersendakan agama Islam meskipun telah memohon maaf.
“Sebagaimana yang berlaku dalam kes wanita Melayu bernama Kiki baru-baru ini, dalam tempoh lebih kurang seminggu, pihak berkuasa dapat mengesan beliau seterusnya dihadapkan ke mahkamah dan dijatuhi hukuman.
“Sehubungan itu, SukaGuam menggesa pihak berkuasa, SKMM dan pihak berwajib menggunakan semua saluran yg ada untuk mengesan individu bernama Kelvin Yip itu dan menghadapkannya ke muka pengadilan secepat mungkin,” kata Pengerusinya, Datuk Khairul Anwar Rahmat dalam satu kenyataan.
Menurutnya, sekiranya pihak berkuasa lewat bertindak, rakyat bakal membuat kesimpulan wujudnya pendakwaan terpilih di negara ini.
“Jangan kerana beliau bukan berbangsa Melayu, pihak berkuasa teragak-agak mengambil tindakan kerana bimbang dikritik.
“Adakah mendakwa orang Melayu seperti Kiki sahaja dianggap cekap? Manakala orang bukan Melayu yang melakukan kesalahan dibiarkan kerana bimbang dikritik?,” katanya.
Pihaknya turut menyuarakan kebimbangan trend penggunaan laman sosial yang semakin berani memainkan isu sensitif.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan