KETIKA dunia dilanda kerisauan tentang kekejaman Israel ke atas Gaza, konfrontasi antara Ukraine dan Rusia, perlumbaan ekonomi antara China dan Amerika, dan baru sahaja selesai menunaikan puasa mulut dan nafsu di bulan Ramadan, tiba-tiba beberapa aktivis di Malaysia dengan lantang mengatakan bahawa perasmian Sukan Komanwel ada unsur yang menghina umat Islam kerana nama negara Islam berada di badan anjing-anjing yang digunakan sebagai maskot.
Umat Islam dunia tergamam melihat telatah umat Islam Malaysia. “Umat Islam haram sentuh anjing,” seorang aktivis berhujah.
Siapa sebenarnya yang akan menimbulkan kekeliruan tentang Islam di persada dunia sebagai agama yang terlampau sensitif? Tiada negara Islam yang lain menyokong kenyataan aktivis-aktivis ini?
Sebelum ini, dunia juga dikejutkan oleh kenyataan agamawan-agamawan kita tentang isu DNA babi dalam Cadbury.
Telatah yang paling mencemaskan setiap penganut Islam ialah kata-kata seorang aktivis wanita yang mewakili 18 NGO Islam Malaysia, “Kami mahu saman Cadbury berjuta-juta untuk cuci darah kita kerana termakan babi!” Umat dunia tergamam melihat begitu skizofrenianya umat Islam di Malaysia.
“Xifu, kalau gitu, kenalah ada bank darah halal dan bank darah haram!” tergelak Siew Mei, berumur 18 tahun, walaupun hanya 3 bulan memeluk Islam. Mualaf mentah ini yang belum mengenal huruf Arab pun mampu secara ‘common sense’ memahami masalah sebenar isu ini.
Pada masa sama juga, seluruh dunia termasuk Obama tergelak melihat telatah Raja Bomoh Dunia dari Malaysia melaungkan-laungkan kalimah ALLAH sambil menjulang dua biji kelapa dalam jampinya untuk mencari MH370 di KLIA. Sebenarnya siapa yang mengelirukan siapa? Kristian atau umat Islam sendiri?
Ramadan sepatutnya ialah bulan mengawal nafsu melatah. Tetapi Ramadan tahun lepas, video seorang Muslimah memberi kuih raya untuk anjing-anjing telah membangkitkan kemarahan umat Islam di bulan Ramadan.
Pada mulanya, ungkapan rasis digunakan di media alternatif, “Dia Cina!” Muslimah ini terpaksa isytiharkan di media bahawa beliau adalah sebenarnya Melayu tulen dan merupakan pelatih anjing!
Ramadan ini pula umat Islam terkejut dengan video seorang wanita bertudung yang begitu baran sehingga menggunakan stereng lock memukul kereta kepunyaan seorang lelaki Cina yang sudah tua.
Ungkapan “Dia Cina” juga keluar daripada Muslimah ini. Tetapi yang lebih mengejutkan umat ialah apabila lelaki tua ini ditanya mengapa beliau memaafkan Muslimah ini, beliau menjawab, “Saya adalah Kristian Katolik. Agama saya mengajar saya untuk memaafkan orang yang buat silap pada kita.” Ayat ini umpama bom meletup dekat telinga umat Islam.
Tetapi yang lagi mengejutkan belum berakhir di sini. Sekeping surat disebarkan di media alternatif yang berusaha mengatakan bahawa lelaki tua ini menjadi punca kemarahan Muslimah berkenaan.
Dialah yang bersifat rasis dulu dengan mengeluarkan kata-kata tidak sepatutnya terhadap Melayu. Sebuah NGO Melayu pula mengisytiharkan tabung membantu Muslimah Melayu ini yang telah didenda oleh mahkamah.
Siew Mei tertanya-tanya, “Mengapa NGO ini tidak berjumpa dengan uncle tua itu dan membaiki balik keretanya?” Saya jawab, “Mungkin sudah pun", saya cuba baik sangka.
“Kita umat Islam tak baik buruk sangka dengan menuduh uncle itu menjadi punca kemarahan wanita itu. Kita tak baik buruk sangka pada NGO Melayu itu juga. Mungkin mereka dah bawa kereta uncle itu untuk dibaiki.”
Sejauh manakah puasa Ramadan tahun ini telah berjaya mentajdidkan akhlak umat Islam di Malaysia?
* Abdul Naser Abdul Rahman ialah tokoh pendakwah Perak
Tiada ulasan:
Catat Ulasan