HALAMAN SANTAI

Ahad, 24 Ogos 2014

Saya anggap Khalid sahabat, jangan serang peribadi – Anwar

Oleh: Lyn Nasir


SHAH ALAM  : Hanya fakta perlu diketengahkan sebagai penerangan kepada rakyat Selangor tentang penggantian Menteri Besar, bukan isu peribadi yang menjadi sasaran untuk menyerang Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, kata Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar KOngres (2)

Jelasnya, setiap penerangan yang diberikan kepada rakyat harus dilakukan secara sederhana agar tidak menyinggung perasaan Abdul Khalid yang dianggap seperti sahabat dan keluarganya.

“Khalid itu sahabat saya, tak mudah untuk kita sampaikan (kepada rakyat).

“Kalau dulu, MPN (Majlis Pimpinan Negeri) Selangor bertahun-tahun suruh tindakan diambil terhadapnya, saya pertahankan tapi tak bermakna saya setuju dengan semua benda,

“Saya tahu banyak benda baik yang dilakukan (oleh Khalid). Dari segi ketelusannya, Cuma dari isu kebersihan air tidak terkawal, sampai saya sendiri terpaksa telefon sendiri Syabas minta tolong hantar air,

“Kita juga ada peruntukan dari MARRIS sebanyak RM800 juta, tapi jalan lopak di kampung tidak diperbaiki, itu masalah besar kepada mereka, mungkin kita tidak (merasainya),” katanya dalam Ucapan Penagguhan Kongres Nasional KEADILAN ke 10 di Shah Alam, hari ini.

Kongres 4

Jelas Anwar, bagaimanapun beliau tidak mahu kemelut MB Selangor ini berakhir dengan pertembungan peribadi yang akhirnya merosakkan hubungannya dengan Abdul Khalid.

“Walaupun memberi penerangan, mungkin boleh lakukan dengan lembut dan sederhana sehingga tidak menyinggung perasan, tapi jangan serang secara peribadi. Saya tak setuju, ini soal kepedulian, kita perlu iktiraf keikhlasan dan sumbangan beliau.

“Dan kita tak nak berakhir dengan pertembungan peribadi, kita mengelak daripada memberi sebarang komen yang menyinggung peribadi dia,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Anwar turut berharap Khalid dapat membantu pada perubahan yang licin bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar yang baharu.

Tiada ulasan: