SHAH ALAM: Akhbar Utusan Malaysia hari ini mendakwa rizab Selangor
berjumlah RM3 bilion mungkin akan digunakan bagi membiayai protes
jalanan untuk menyelamatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim jika isterinya Dr
Wan Azizah Wan Ismail menjadi menteri besar Selangor yang baharu.
"Terdapat beberapa pihak seperti dilaporkan bimbang rizab itu akan
digunakan antara lain bagi menyelamatkan karier politik Anwar termasuk
membiayai siri demonstrasi jalanan besar-besaran sekiranya beliau
dipenjarakan atas kesalahan meliwat," akhbar itu dipetik.
Mahkamah Rayuan pada 7 Mac memutuskan Anwar yang juga ketua umum PKR
bersalah atas tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari
Azlan pada 2008.
Anwar, yang juga ketua pembangkang mendakwa tuduhan terhadapnya
bermotifkan politik, sedang merayu keputusan tersebut di Mahkamah
Persekutuan.
Tulisan pojok Awang Selamat dalam akhbar milik Umno itu mendakwa PKR
dikuasai keluarga Anwar yang dilihat menentukan pendirian parti dalam
isu besar sehingga menimbulkan rasa kurang senang di kalangan ahli
parti.
"Ini termasuk langkah Kajang diigerakkan oleh Anwar yang ahirnya
membawa mudarat kepada PKR," katanya seperti dilapor dalam akhbar Utusan
Malaysia edisi hujung minggu itu.
Tulisan itu juga mendakwa Kongres PKR yang kini berlangsung di Shah
Alam "hambar" dan ia merupakan satu lagi tamparan buat Anwar.
"Apa yang menarik untuk diketahui selepas kongres tersebut, apakah Wan
Azizah dapat diangkat menjadi menteri besar sebagaimana yang suaminya
perjuangkan habis-habisan seoalh-olah pemimpin lain tidak layak dan
dipercayai," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan