Muhyiddin Yassin (tengah) memeriksa barisan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno ketika hadir merasmikan
Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Ledang, semalam. Muhyiddin Yassin (tengah) memeriksa barisan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno ketika hadir merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Ledang, semalam.
 
 
 
MUAR – BN sudah bersedia berhadapan dengan isu-isu berbangkit yang akan dimainkan parti lawan sepanjang tempoh berkempen sehingga menjelang hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Pengkalan Kubor, Kelantan 25 September ini.

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, BN mempunyai strategi tersendiri untuk menangani perkara tersebut sama ada yang bertanding itu daripada PKR ataupun Pas.

“Saya dengar memang ada perebutan antara kedua-dua parti untuk mewakili kerusi itu,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Pagoh 2014 di Kompleks Sukan Pagoh dekat sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Umno Bahagian Pagoh, Ismail Mohamed; Ketua Wanita Bahagian Pagoh, Datuk Senator Noriah Mahat dan Ketua Puteri Umno Bahagian Pagoh, Rohaizah Ahmad.

Kerusi Dun Pengkalan Kubor kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Noor Zahidi Omar, 57, di Guangzhou, China pada 20 Ogos lalu akibat kanser hati.

Allahyarham Noor Zahidi merupakan Adun Pengkalan Kubor selama tiga penggal dan Ketua Umno Bahagian Tumpat selama empat penggal.

Muhyiddin berkata, penduduk di Pengkalan Kubor, Tumpat perlu menjadikan kemelut politik di Selangor sebagai iktibar supaya perkara itu tidak berlaku di negeri berkenaan.

“Kita tidak mahu menangguk di
air
yang keruh dengan apa yang berlaku di Selangor tetapi apa-apa peristiwa politik yang berlaku di mana-mana negeri akan membawa kesan sama ada pilihan raya umum  atau  PRK.

“BN serah kepada kebijaksanaan pengundi untuk menilai keupayaan calon dipilih dan BN tidak pernah menghadapi hal seperti ini (kemelut politik seperti di Selangor). Kita sebuah parti yang mendahulukan rakyat,” katanya.

Mengenai calon yang akan bertanding dalam PRK Pengkalan Kubor, Muhyiddin berkata, Umno Kelantan sedang meneliti beberapa nama yang dirasakan sesuai  untuk dijadikan calon PRK nanti.

“Nama itu akan diumumkan pada hari penamaan calon pada 10 September ini di Tumpat selepas mengambil kira pandangan rakyat berkenaan calon dipilih,”katanya.