Oleh Nurshakira Buang
SHAH ALAM: Tindakan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengambil
langkah sendiri mencalonkan tiga ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS
kepada istana sebagai calon menteri besar Selangor yang baharu dibuat
kerana kecewa dengan gelagat Pakatan Rakyat khususnya PKR, kata Datuk
Aidit Ghazali.
Malah, ujar Timbalan Presiden Jaluran Tiga (JATI) itu beliau kini hanya
menunggu masa untuk PAS meninggalkan parti atau dipecat daripada
Pakatan pembangkang.
"Pada saya pihak pimpinan tertinggi PAS khususnya Abdul Hadi dan juga
majlis Syura Ulama dan akar umbi PAS yang nak PAS menjadi sebuah parti
yang berlandaskan pada Islam mereka ini sebenarnya sudah begitu kecewa
dan pasrah dengan gelagat yang dibawa oleh Pakatan khususnya PKR dan DAP
dan terutama sekali konco-konco Anwar dan dia punya
penyokong-penyokong.
"Saya rasa mereka dah pasrah, kecewa, marah sangat dan pada saya
sebagai orang luar saya hanya tunggu sahaja PAS ditinggalkan atau
meninggalkan pakatan pembangkang," katanya ketika dihubungi Antarapos.
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Azmin Ali sebeum ini didakwa
tidak dicalonkan oleh PAS sebagai Menteri Besar Selangor meskipun
Presiden dan Timbalan Presiden PKR itu sebelum ini disebut-sebut antara
daripada tiga nama yang dihantar parti itu kepada pihak istana.
PAS sebaliknya mengemukakan kesemua calon Menteri Besar daripada
kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka sendiri, sekali gus
turut menafikan kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali
semalam bahawa parti itu mengemukakan dua calon PKR dan seorang calon
Pas untuk dipertimbangkan mengisi jawatan tersebut.
Difahamkan tindakan PAS mencalonkan tiga ADUN mereka untuk
dipertimbangkan sebagai Menteri Besar itu kerana kesal dengan keputusan
PKR dan DAP sebelum ini yang telah menolak bulat-bulat cadangan parti
Isam itu yang mahukan Azmin dicalonkan bersama-sama Wan Azizah.
Mengulas lanjut adakah PKR khususnya Ketua Umum parti itu Datuk Seri
Anwar Ibrahim perlu berlembut dengan mengemukakan calon lain selain Wan
Azizah, ini jawapan Aidit:
"Kalau sekarang nak dikatakan bahawa Anwar Ibrahim dan PKR nak
berlembut dan sebagainya pada saya nasi dah jadi bubur dan juga nama
baik Anwar yang dah buruk semakin buruk.
"Nama PKR yang kononnya menjadi harapan sebagai salah satu alternatif kepada BN itu pun dah berkecai," katanya.
"Di dalam PKR sendiri sudah wujud kumpulan pelbagai kumpulan yang
berentap antara satu sama lain begitu juga dalam PAS," ujarnya lagi.
Sehubungan itu, Aidit menggesa rakyat di negeri ini supaya menolak
mereka-mereka yang membuat kacau serta mencetuskan suasana tidak harmoni
di Seangor kini bila saja mendapat peluang untuk berbuat demikian.
"Masyarakat mesti sedar bahawasanya bukan sekarang ini mereka nak
tunggu Anwar Ibrahim atau PR berlembut tetapi mereka kena buat satu
tindakan yang tegas bila datang sahaja peluang mereka kena nyahkan
Pakatan pembangkang ini dari muka bumi negeri Selangor sebab negeri
Selangor kita tak perlu orang-orang nak buat kacau begini," tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan