HALAMAN SANTAI

Selasa, 16 September 2014

Isu Sabah, Sarawak keluar Malaysia agenda politik pihak tertentu

Oleh Shawaliah Hadir
Post Pic
 


SHAH ALAM: Isu Sabah dan Sarawak kononnya mahu keluar daripada Malaysia hanya hujah pihak berkepentingan demi memecahbelahkan perpaduan rakyat antara Semenanjung dan dua negeri itu, tegas Ahli Parlimen Kota Belud Datuk Abdul Rahman Dahlan. 

Katanya, isu yang sentiasa menjadi modal ahli-ahli politik yang mahu meraih sokongan rakyat akar umbi tidak akan berhasil sebaliknya semangat pribumi Negeri Di Bawah Bayu dan Bumi Kenyalang itu masih utuh untuk sentiasa berada dalam satu negara ini. 
 
"Majoriti rakyat Sabah dan Sarawak masih mahu berada dalam Malaysia itu tidak menjadi persoalan, yang bising tentang isu ini hanyalah mereka yang berpentingan politik.
 
"Pemain-pemain utamanya ini adalah orang-orang politik yang mereka gunakan hujah-hujah yang sama pada pilihan raya yang lepas," katanya kepada Antarapos ketika dihubungi. 
 
Menyedari terdapat masalah yang perlu diperbaiki dan sentiasa untuk diambil perhatian dalam isu menjaga kebajikan rakyat di setiap negeri dalam Malaysia, beliau bagaimanapun berkata Kerajaan Persekutuan sentiasa bersikap adil. 
 
"Memang dalam konsep persekutuan ini bukan tidak ada langsung masalah, di mana-mana pun di seluruh dunia yang mengamalkan konsep persekutuan memang ada masalah daripada segi memperbaiki terma-terma persekutuan itu. Jadi ia sentiasa ada perbincangan," tambahnya.
 
Sebelum ini, ura-ura bahawa Sabah dan Sarawak tidak berpuas hati dengan layanan yang diberikan berbanding Semenanjung mengakibatkan ia hangat diperkatakan tentang kedua-dua negeri itu nekad untuk keluar dari Malaysia. 
 
Mengulas perkara itu Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini menegaskan suara kecil yang mencadangkan perkara ini hanya akan menjejaskan semangat kerjasama, keselamatan dan perpaduan rakyat. 
 
Beliau juga dalam pada itu menyifatkan ia sebagai hasutan yang jelas bertentangan dengan perlembagaan negara dan negeri. 
 
Rahman Dahlan yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu turut menempelak pihak yang menggunakan isu ini untuk mengharu-birukan negara agar berhenti menggunakan alasan yang tidak berfaedah ini.
 
"Jadi tidak payahlah nak mengungkitkan isu Sabah dan Sarawak mahu keluar dari Malaysia, yang penting kita sentiasa berbincang bagaimana untuk memperbaiki terma-terma persekutuan itu.
 
"Untuk Sabah dan Sarawak keluar daripada Malaysia itu adalah satu perkara yang  tidak akan kita terima," ujarnya. 

Tiada ulasan: