HALAMAN SANTAI

Rabu, 17 September 2014

Kerajaan BN berdolak dalik mahu hapus Akta Hasutan

 DETIK DAILY
DETIK DAILY


Kerajaan tidak akan memansuhkan Akta Hasutan 1948 dalam masa terdekat w
alaupun ada desakan sesetengah pihak supaya akta itu dihapuskan. Ini penjelasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri.

Akta Hasutan dianggap masih penting untuk menjaga keselamatan, keharmonian dan perpaduan kaum di negara ini memandangkan kerajaan memerlukan masa dan kajian terperinci dalam merangka draf Rang Undang-Undang Keharmonian Nasional bagi menggantikan Akta Hasutan.

Sebelum ini Perdana Menteri sudah memaklumkan untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 tetapi kerajaan tidak akan memansuhnya sehingga ada akta gantian.

Setakat ini kerajaan belum merangka draf Rang Undang-undang Keharmonian Nasional yang akan menggantikan Akta Hasutan 1948 walaupun ada pihak mendakwa kerajaan sudah merangkanya dan akan dibentang (di Parlimen) tahun depan.

Terdahulu, Najib Tun Razak memberitahu kerajaan akan “mengkaji” sama ada mereka patut menarik kembali Akta Hasutan yang disifatkan sebagai lapuk dan zalim oleh kumpulan hak asasi manusia.

Najib pada tahun 2012 berjanji untuk menarik akta tersebut, tetapi mendapat tekanan dari kumpulan sayap kanan termasuk menteri kabinetnya yang percaya keadaan akan menjadi kucar-kacir kalau Akta itu ditarik.

Para penyokong Akta Hasutan itu turut bimbang penarikan akta ini akan memberi ruang kepada semua pihak membuat kenyataan menentang institusi diraja dan kedudukan istimewa Melayu.

Mereka turut menghentam Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional (MPKN), yang menyediakan draf rang undang-undang termasuk menjadikannya diskriminasi bangsa satu jenayah.

Rang undang-undang yang dicadangkan itu dimuatnaik ke laman web MPKN untuk maklumbalas awam sebelum diserahkan kepada kerajaan.

Najib menyifatkan keputusan sama ada mahu mengekalkan Akta Hasutan 1948 atau memperkenalkan Akta Keharmonian Nasional akan dibuat dengan penuh berhemah, terbuka tetapi dalam keadaan terkawal supaya negara terus harmoni.

Reaksi keras Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula, sekiranya terdapat akta baharu menggantikan Akta Hasutan 1948 nanti, elemen-elemen tertentu yang termaktub di dalam Akta Hasutan tetap dikekalkan.

Tidak semestinya jika akta ini dimansuhkan dan digantikan dengan satu akta baharu, semua elemen di dalamnya akan turut dimansuhkan.

Sehingga kini belum ada sebarang draf Rang Undang-Undang Keharmonian Nasional yang dirangka untuk menggantikan Akta Hasutan 1948.

Sebuah gabungan aktivis anak muda telah melancarkan kempen kesedaran mendidik orang awam tentang Akta Hasutan 1948 sebagai reaksi awal terhadap akta ini.

Dikenali Gerakan Anak Muda Hapuskan Akta Hasutan (Hasut), terdiri daripada 11 pertubuhan pelajar, akan berkempen di jalanan sekitar Kuala Lumpur pada Hari Malaysia minggu depan, demikian tegas jurucakap Hasut, Muhammad Safwan Anang, yang didapati bersalah mengikut akta itu dan dihukum penjara 10 bulan oleh Mahkamah Sesyen minggu lepas, berkata insiatif pertama itu dinamakan “Jalan-jalan hasut.”

Pada 5 September lalu, satu lagi NGO dikenali Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH) ditubuhkan. Sejumlah 112 pertubuhan masyarakat sivil bekerjasama menuntut undang-undang zaman penjajah itu dihapuskan sekiranya Malaysia benar-benar mahu menjadi sebuah negara yang bebas.

Tegas Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty Eric Paulsen pada sidang media GHAH, akta ini jelas disalahgunakan bagi melindungi Putrajaya dan kepentingannya, mencengkam pembangkang dan penentang, memastikan isu tertentu tidak disentuh, menyekat kebebasan awam dan mengingatkan kembali kepada hari-hari paling buruk ketika zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Namun ada juga NGO yang mahu akta ini dikekalkan. Aktivis pro-Akta Hasutan, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz mahu undangundang tersebut diperketatkan lagi dengan memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Beliau yang mengepalai NGO Malaysia Mempertahankan Akta Hasutan memberitahu turut akan menjalankan kempen untuk mendapatkan sokongan agar akta tersebut dikekalkan.

Tiada ulasan: