MALAYSIAKINI
Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor
bagaikan membawa tuah dan rezeki bagi para peniaga di Kompleks beli
belah Zon Bebas Cukai Pengkalan Kubor, di Tumpat.
Kompleks yang terletak berhampiran pekan Pengkalan Kubor dan sempadan
Malaysia-Thailand itu menjadi antara daya tarikan utama bagi penyokong
parti-parti politik dari seluruh negara yang datang untuk menjalankan
tugas sempena PRK ini.
Ramai peniaga yang ditemui melahirkan rasa gembira dan bersyukur dengan
kehadiran ratusan orang luar pada setiap hari yang menjadikan perniagaan
mereka meningkat secara mendadak.
Seorang peniaga aksesori wanita, Romlah Abdul Razak, 46, berkata
pendapatan hariannya meningkat sejak seminggu lalu sehingga mencapai
RM3,000 sehari.
"Sebelum ini, jualan harian saya sekitar RM200 hingga RM800 tetapi
meningkat sejak seminggu ini kerana ramai orang luar datang untuk PRK
ini," katanya.
Beliau berkata, rezekinya bertambah kerana PRK itu dan ramai golongan
wanita dari seluruh negara berminat dengan barangan eksesori yang
dijualnya kerana harganya jauh lebih murah berbanding di tempat mereka.
Seorang lagi peniaga warung, Rashidah Mansur, 48, berkata beliau yang
dibantu tiga pekerja menerima pelanggan dari pelbagai negeri untuk
menikmati menu istimewanya seperti nasi berlauk ayam kampung, nasi
dagang dan nasi kerabu.
"Alhamdulillah, jualan semakin laris sejak seminggu lalu dan membuatkan
saya tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan pelanggan," katanya.
Katanya, nilai jualannya meningkat antara RM1,500 dan 2,000 sehari dalam tempoh hanya lima jam.
Beliau berkata, kebanyakan pelanggan adalah dari luar Kelantan dan mereka mahu menikmati masakan ala Siam di kawasan itu.
Tinjauan Bernama mendapati rata-rata penyokong parti politik yang
mengikut kempen PRK berkenaan turut mengambil kesempatan membeli-belah
di kompleks itu dengan kebanyakan mereka membeli baju, kain serta hiasan
rumah.
Seorang pengunjung, Samiha Ismail, 36, dari Perak berkata kebanyakan barang di situ dijual dengan harga murah.
"Di samping datang untuk berkempen, saya akan manfaatkan masa yang ada untuk membeli belah," katanya ketika ditemui semalam.
Seorang lagi pengunjung Azizul Hamid, 24, berkata beliau mengunjungi
tempat itu untuk menikmati pelbagai makanan selain dapat mengenali
budaya yang unik dalam kalangan masyarakat tempatan yang mirip Siam.
"Masakan di sini agak berbeza dan sedap selain harganya berpatutan. Ini
adalah kali pertama saya dan rakan-rakan Pemuda BN dari Johor datang ke
tempat ini," katanya.
Beliau berkata, kompleks itu mampu menarik ramai pengunjung dari dalam
dan luar negara jika ia mempunyai kemudahan infrastruktur yang baik dan
juga promosi di peringkat antarabangsa.
Dalam PRK itu, calon BN, Mat Razi Mat Ail akan ditentang calon PAS Wan
Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.
PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Allahyarham Datuk Noor
Zahidi Omar dari BN pada 20 Ogos lepas akibat kanser hati.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 25 Sept ini sebagai tarikh pengundian.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan