HALAMAN SANTAI

Ahad, 14 September 2014

Mangsa Akta Hasutan bergabung untuk pemansuhannya

MALAYSIAKINI


 


Beberapa ahli politik dan aktivis yang menjadi mangsa Akta Hasutan akan bergabung dalam satu gerakan yang bakal dilancarkan kelak.

Gabungan diberi nama Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH) ini disokong 128 pertubuhan masyarakat sivil akan dilancarkan secara rasmi 15 September depan di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH).

"Tetamu istimewa yang akan muncul dalam pelancaran GHAH akan datang termasuklah individu-individu yang telah menjadi mangsa kepada Akta Hasutan 1948 dan lain-lain pertuduhan yang serupa," kata gabungan itu dalam satu kenyataan.

Antara mereka adalah aktivis sosial Hishamuddin Rais dan Haris Ibrahim, aktivis pelajar Adam Adli dan Safwan Anang serta pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin.

Isteri kepada pemimpin Hindraf, P Uthayakumar yang kini merengkok di dalam penjara, S Indra Devi (kiri) bakal memberi ucapan dalam majlis pelancaran esok.

Antara lain yang terlibat adalah Anggota Parlimen N Surendran (Padang Serai), Tian Chua (Batu), Rafizi Ramli (Pandan) and Teresa Kok (Seputeh) serta ADUN RSN Rayer (Seri Delima), Suhaimi Shafiei (Sri Muda) and Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (Changkat Jering).

"Kami dengan ini menyeru seluruh lapisan masyarakat dan warga Malaysia untuk  hadir dan memberi sokongan pada hari pelancaran akan datang sebagai manifestasi rakyat mempertahankan kebebasan bersuara dan kebebasan berpendapat seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia.

"Tiada seorang pun yang boleh dianggap sebagai penjenayah hanya kerana perbezaan pendapat biarpun dengan kerajaan-selagi tidak mengancam keselamatan dan ketenteraman ras dan agama," kata kenyataan tersebut lagi.

Gabungan itu menyatakan mereka akan memperjuangkan tiga tuntutan yang iaitu mansuhkan Akta Hasutan 1948, gugurkan pertuduhan terhadap individu yang didakwa di bawah Akta Hasutan dan bebaskan semua tahanan, dan menolak sebarang bentuk undang-undang gantian kepada Akta Hasutan.

Tiada ulasan: