HALAMAN SANTAI

Isnin, 15 September 2014

Muktamar tak jejas kempen PAS di P Kubor

MALAYSIAKINI


 


Kempen pilihan raya PAS di Pengkalan Kubor tidak akan terjejas walaupun Muktamar Tahunan PAS dijadual berlangsung di Batu Pahat bermula 18 hingga 20 September ini, kata Pengarah Operasi pilihan raya kecil itu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

Katanya, persidangan tahunan parti itu hanya melibatkan kepimpinan tertinggi sahaja manakala jentera pilihan raya kecil tidak mempunyai masalah untuk terus berkempen di Pengkalan Kubor.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 25 September ini sebagai tarikh mengundi dalam pilihan raya kecil itu.

"Jentera pilihan raya tidak akan bergerak dari sini. Kita menganggap ini seperti arahan daripada Rasullullah SAW dalam perang Uhud supaya 50 tentera berpanah untuk kekal di bukit Uhud menunggu musuh yang datang dari belakang.

"Jentera akan memberi sepenuh masa di sini bersama Tok Wan Di (calon Pengkalan Kubor Wan Rosdi).

"Muktamar tidak akan menjejaskan gerak kerja kempen pilihan raya kita di sini," katanya dalam sidang medianya pagi ini.

Mengulas mengenai bentuk kempen dalam pilihan raya itu, Wan Abdul Rahim berkata jentera Pakatan Rakyat tidak akan membuat serangan peribadi terhadap calon BN Mat Razi Mat Ail.

Kempen rumah ke rumah


Sebaliknya, katanya, jentera PAS khususnya Dewan Muslimat PAS akan memfokuskan kempen awal dengan mengadakan lawatan dari rumah ke rumah.

Beliau berkata setakat ini penerimaan masyarakat setempat selepas kempen ziarah dari rumah "amat positif".

"Kempen yang paling berkesan kepada kita (PAS) sehingga ke hari ini adalah gerakan Muslimat dari rumah ke rumah.

"Sehingga kelmarin sudah 300 rumah yang kita sempat ziarah dan dalam berlangsungnya muktamar 3,000 rumah yang akan kita ziarah," katanya.

Sementara itu, tinjauan Malaysiakini setakat ini mendapati perang bendera daripada ketiga-tiga parti masih belum lagi berlangsung dan fokus kempen tertumpu dari segi ziarah rumah ke rumah dan ceramah kelompok.

Pilihan raya kecil itu menyaksikan pertemuan tiga penjuru antara calon BN Mat Razi Mat Ail, calon PAS Wan Rosdi Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Tiada ulasan: