Nik Abduh Nik Abdul Aziz Nik Abduh Nik Abdul Aziz
 
 
 
ADA tindakan, adalah tindak balas. Tindak balas bukanlah satu hukuman rasmi. Hukuman berlaku selepas itu, apabila sesuatu tindakan yang menghasilkan tindak balas yang tidak harmoni cuba diperbaiki atau diharmonikan kembali agar kerosakan itu tidak melarat.

YB Haji Saari bin Sungib dan rakannya itu sayugia memahami ini. Anda perlu terima kesakitan kerana anda telah sakitkan orang lain terlebih dahulu. Janganlah berhujah, itu demi membahagiakan orang lain kerana anda disakitkan pun dihujahkan dengan hal yang sama, iaitu demi membahagiakan orang lainlah juga.

Apabila tuan presiden menyatakan parti dikhianati oleh anda, maka itu adalah tindak balas daripadanya, bukan hukuman lagi. Bahkan dialah yang paling berhak untuk bertindak balas. Bahkan lagi, pernyataannya itu adalah yang terbesar daripada parti setakat ini.

Lewat bertindak balas itu, itu caranya. Masing-masing dengan cara masing-masing.

Justeru mungkin penghakiman akan turut memasukkan kenyataan tuan presiden itu sebagai bahan bukti utama bahawa parti telah dikhianati.

Dengan pengalaman banyak YB berpindah randah daripada satu kumpulan kepada kumpulan yang lain dengan ijtihad yang begitu kontemporari, tidak pelik jika ini pun satu ijtihad yang hebat.

Menariknya, jika tindakan ijtihad terbaru YB ini adalah bagi membenarkan janji dengan PR, maka tindak balasnya pula, YB diijtihadkan sebagai mengkhianati janji dengan parti sendiri.

Adalah menarik untuk kita menerokai fiqh baru ' Al Wala' Wal Bara' ' bahawa rakan PR adalah tempat kita menumpahkan wala' kita mengatasi wala' kita kepada jamaah sendiri.

Manalah tahu, dalam keadaan krisis, isteri diizinkan oleh syara' untuk memiliki dua suami. Maqasid Syariahnya, asalkan bahagia.

Ia mungkin melucukan untuk diutarakan, tetapi bagi sesetengah orang yang merasa dirinya faqih, 'Siyasah Syar'ieyah' baginya adalah ibarat pintu yang tidak lagi berkunci, bukan hanya bagai sebuah padang luas yang berpagar sebagaimana itulah yang difahami ulama silam turun temurun.

Justeru mengatakan tuan presiden telah menghukum sebelum perbicaraan, itu pun satu penghukuman yang salah.

Yang betul ialah parti dalam proses menghakimi. Selamat berijtihad dengan ilmu masing-masing. Sesungguhnya ALLAH, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman akan melihat segala amal buat kita.

"Dan ALLAH sekali-kali tidak akan menyesatkan sesuatu kaum selepas Dia telah memberikan mereka hidayat petunjuk sehinggalah Dia terlebih dahulu  terangkan kepada mereka apa yang mesti mereka jaga dan pelihara diri daripadanya. Sesungguhnya ALLAH maha mengetahui atas segala sesuatu." - Al Taubah:115

***Artikel ini dipetik daripada laman Facebook NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ