Pendirian PAS di dalam penyelesaian
krisis tersebut dijangka mewarnai perdebatan pada mukmatar tahunan parti
itu akhir bulan ini. Persoalan yang dibangkitkan ahli serta penyokong
PAS tentunya berkaitan kesetiaan kepada presiden serta penelitian
terhadap gambaran besar berhubung peranan parti tersebut di dalam
gagasan Pakatan Rakyat.
“Berdasarkan premis perundangan yang
dibuat Luham, dan bagi mengelakkan kekeliruan yang tersebar di kalangan
anggota serta penyokong PAS, saya menggagahkan diri bagi mengkaji
peruntukan berkaitan di bawah perlembagaan parti dan membetulkan
kesalahan pokok yang saya percaya dibuat Luham di dalam kesimpulannya,”
ujar Wan Rohimi.
“Sekurang-kurangnya, tulisan saya dapat
memperkayakan debat dan menawarkan alternatif kepada pendirian
perundangan yang dibuat biro yang bertanggungjawab ke atas urusan
undang-undang parti,” jelasnya.
Menurut Wan Rohimi, pendirian Luham
bahawa Majlis Syura hanya boleh menawarkan pandangan tentang
perlembagaan jika dirujuk secara rasmi oleh mana-mana AJK PAS Pusat atau
bilamana terdapat kegagalan mencapai persetujuan sebulat suara
“tersasar” dan telah “mencemarkan” pandangan menyeluruh tentang isu itu.
Pendirian Luham, mengikut Rohimi, telah
memberi gambaran salah terhadap peruntukan di dalam perlembagaan parti –
Perkara 8(1)(a) dan Perkara 88(1) – dan pada masa yang sama
mengenepikan klausa 8(1)(b) dan 8(2) yang memberi pandangan berbeza.
“Secara mudah, Majlis Syura tidak pernah
bertindak di luar kerangka perlembagaan parti, tetapi Luham telah
tersasar dengan mengeluarkan kenyataan mencabar pendirian rasmi Majlis
Syura,” ujarnya.
Wan
Rohimi memberitahu theantdaily bahawa beliau hanya “pemerhati” tetapi
disoal beberapa rakan di dalam parti itu bagi memberikan pendapatnya. Di
dalam PAS sendiri, Luham bahagian Terengganu menjauhkan diri daripada
pendirian tersebut sambil menegaskan mereka tidak dijemput ke mesyuarat
di peringkat pusat pada 8 September lalu.
Pengerusi Luham Terengganu Mohd Saifudin
Othman sependapat dengan Wan Rohimi yang menegaskan Majlis Syura
ditubuhkan bagi memastikan PAS kekal dengan terasnya sebagai parti
Islam.
Wan Rohimi enggan menjelaskan lebih
lanjut tetapi tidak salah beranggapan bahawa pandangan beliau diminta
ahli PAS daripada fraksi ulama bagi memberi justifikasi kepada langkah
kontroversi Abdul Hadi menyenaraikan tiga calon bagi jawatan Menteri
Besar Selangor.
Tindakan yang dilihat ‘membelot’ itu
bercanggah dengan persetujuan Pakatan, namun dinafikan Abdul Hadi dengan
disokong Majlis Syura yang kemudian menggesa ahli parti menghormati
keputusan presiden.
Beberapa pemimpin lain turut menyatakan
sokongan kepada Abdul Hadi termasuk ahli parlimen Pasir Mas Nik Mohamad
Abduh Nik Abdul Aziz yang mendakwa dua ADUN PAS Selangor Hasnul
Baharuddin (Morib) and Saari Sungib (Hulu Kelang) merupakan “pembelot”
sebenar.
“Apabila dua pembelot ini menyertai PKR,
kestabilan PAS mula goyah. PKR telah membelot persahabatan apabila
mereka menerima kedua-dua ADUN ini,” ujar Nik Abduh.
Yang jelas, keseluruhan episod ini
menampilkan perpecahan di antara fraksi ulama dan profesyenal di dalam
PAS menjelang muktamar yang bakal diadakan di Batu Pahat kelak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan