MALAYSIAKINI
Selepas menerima laporan risikan "agak konklusif", Malaysia dan pasukan
penyiasatan antarabangsa kini berusaha untuk mengumpulkan bukti fizikal
berkaitan nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 yang
ditembak jatuh di Ukraine.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata bagi tujuan itu,
pasukan berkenaan mahu memasuki semula kawasan nahas di timur Ukraine
sebelum musim sejuk.
"Untuk pengetahuan anda, kami sedang berusaha sebaik mungkin. Kami telah
menerima laporan risikan berhubung apa yang telah berlaku terhadap
Penerbangan MH17 dan laporan itu sebenarnya agak konklusif.
"Apa yang akan kami lakukan seterusnya adalah untuk mengumpulkan bukti
fizikal, bukti yang kami boleh kemukakan di mahkamah bila tiba masanya
supaya ia dapat dibuktikan tanpa sebarang kesangsian bahawa pesawat itu
telah ditembak jatuh oleh peluru berpandu dan ini perlu dibuktikan di
mahkamah," katanya.
Najib berkata demikian pada sesi soal jawab dalam sidang media
bersama-sama Perdana Menteri Australia Tony Abbott yang diadakan sempena
lawatan rasmi sehari Abbott di Malaysia, di sini hari ini.
Penerbangan MH17 terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai ketika dalam
penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dengan 283 penumpang dan 15
anak kapal.
Pesawat Boeing 777-200 itu dikatakan ditembak jatuh di negara bergolak itu.
Najib berkata Malaysia bersama-sama rakan antarabangsa seperti Australia
dan Belanda memerlukan sekurang-kurangnya lima minggu untuk memeriksa
keseluruhan kawasan nahas yang agak luas, bukan sahaja untuk mencari
cebisan mayat tetapi juga untuk mengumpulkan bukti fizikal.
Sebaik sahaja proses mengumpulkan bukti fizikal selesai, Najib berkata
peringkat seterusnya adalah untuk meneliti dari sudut jenayah bagi
mencari siapa yang bertanggungjawab melakukan jenayah kejam itu.
"Saya melihat ini sebagai amat mencabar kerana untuk mendapatkan bukti
di kawasan konflik bakal berdepan pelbagai masalah serius tetapi kami
bertekad untuk mencari kebenarannya dan membawa siapa yang
bertanggungjawab ke muka pengadilan," katanya.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan