MALAYSIAKINI
Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin berkata, beliau
bersetuju dengan tindakan polis yang menahan anggota Pasukan Peronda
Sukarela (PPS) Pulau Pinang kerana menurutnya ia merupakan pasukan yang
merbahaya.
Katanya, ini kerana pasukan tersebut merupakan pasukan berstruktur
serta mempunyai uniform yang melakukan tugas-tugas keselamatan untuk
kerajaan negeri Pulau Pinang.
Malah, katanya, pasukan itu juga dilihat telah mengambil alih tugas polis dalam mengawal keselamatan.
"Ini bahaya, saya tengok ada gambar Ketua Menteri Pulau Pinang dengan vest unggu, ada pangkat. Tapi tak berdaftar. Ianya bahaya.
"Macam Unit Amal PAS, tak ambil tindakan sebab Unit Amal ini di bawah
parti PAS walaupun semasa pilihan raya kecil dia menjaga keselamatan.
Kita tak ambil tindakan.
"Dia (PPS) dah ambil alih tugas polis," katanya kepada pemberita dalam
sidang media selepas menghadiri senamrobik anjuran radio Era di Kuala
Lumpur pagi ini.
Semalam polis menahan kira-kira 154 anggota PPS selepas mereka mengambil
bahagian dalam perarakan sambutan hari kemerdekaan di Esplanade di
Pulau Pinang.
Selain anggotanya, polis turut menahan Pengerusi PPS, Phee Boon Poh, yang juga exco kerajaan negeri.
Selain itu, Khairy berkata lagi, tidak menjadi sebarang masalah kepada mana-mana pasukan untuk mengawal keselamatan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, menjadi keutamaan bagi pasukan tersebut
untuk mendaftar di Pendaftar Pertubuhan (ROS) bagi memudahkan segala
urusan.
Malah, Khairy turut memberikan contoh dengan mempersoalkan bagaimana
pendakwaan hendak dibuat sekiranya terdapat pasukan PPS yang tersalah
tangkap individu yang tidak bersalah ketika melakukan pengawalan.
.
"Macam mana nak bertindak (terhadap PPS) sebab pertubuhan ini bukan sah," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan